UMNO/BN Kekal Utuh Bawa Perjuangan Demi Rakyat – Azlan

KANGAR, 29 – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perlis, Datuk Seri Azlan Man berpandangan parti ini sentiasa utuh dengan kesepakatan yang terjalin dalam kalangan ahli bagi membawa perjuangan agama, bangsa dan negara.

Beliau malah meningatkan bahawa keutuhan ini perlu sentiasa dijaga bagi mengelakkan anasir-anasir luar mengambil kesempatan atau mempengaruhi ke atas kesatuan yang dicapai sejak sekian lama.

“Saya yakin bahawa UMNO/Barisan Nasional (BN) masih lagi utuh, berpadu yang menjadi masalah kemungkinan sebahagian yang terpengaruh dengan strategi dan taktik yang dilakukan pembangkang.

“Malah ada yang seakan mengiyakan apa yang dicakapkan (pihak luar). Ini adalah dakyah dan taktik pembangkang untuk melemahkan kita jadi sebab itu saya menyebutkan bahawa kita tidak boleh terpengaruh dengan dakyah yang dilakukan oleh pihak mereka.

“Sebab tujuan mereka tidak ada lain melainkan untuk melihat perpecahan berlaku dalam parti kita dan akibat daripada itu akan jadi lemah maka akan mudah untuk mereka menyerang,” kata Menteri Besar Perlis itu ketika ditemui secara eksklusif bersama UMNO Online di sini baru-baru ini.

Ketua UMNO Bahagian Kangar tu juga mengakui bahawa UMNO bukanlah sebuah parti yang sempurna namun dengan segala pengalaman dimiliki adalah jelas bahawa parti keramat ini adalah lebih baik berbanding Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang yang lain.

Tambah Azlan, adalah penting ahli parti bersama-sama berganding bahu menunjukkan iltizam dalam politik khidmat bakti yang sinonim dilakukan UMNO/BN.

Katanya lagi, meskipun ada perbezaan pandangan yang diutarakan dalam kalangan ahli namun ianya perlu diambil dalam perspektif positif ke arah membawa agenda lebih baik kepada UMNO/BN berbeza dengan parti lain yang berdepan dengan kemelut perpecahan.

“Kita mesti mengetengahkan akan kekuatan yang ada. UMNO/BN bukan suatu parti yang sempurna ada kelemahan tapi tidak besar seperti PH dan pembangkang yang lain ini yang harus kita bendung dan jaga.

“Kalau hendak kata UMNO ini tidak ada suara-suara berlainan daripada pendirian parti itu saya rasa turut berlaku pada parti-parti lain malah pada ketika ini PKR menghadapi isu perpecahan yang sangat besar pada pertandingan yang berlaku untuk perebutan jawatan timbalan presiden dan jawatan-jawatan lain dalam majlis tertinggi mereka.

“Ini kita harus melihat secara objektif ada sedikit keretakan biasa sebagai sebuah keluarga besar. UMNO sahaja ada 3.2 juta (ahli) apatah lagi dengan parti-parti komponen tapi kita tidak boleh eksploitasi isu ini dengan mengiyakan dakyah-dakyah yang dibawa pembangkang jadi saya berpandangan ia perlu ditangani dengan baik oleh parti,” ujar beliau.

Sehubungan dengan itu beliau juga berharap jentera UMNO/BN bersedia sebaiknya sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) terutama dalam merampas Parlimen Kangar dan beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Azlan pada masa sama berharap untuk rakyat mengambil langkah yang bijak pada PRU-15 ini bagi memastikan tragedi PRU-14 tidak berlaku lagi kerana ianya memberi kesan kepada agenda kemajuan negara.

“Kepada jentera parti kita masih mempunyai masa untuk memperkukuhkan gerak kerja untuk mempastikan apa yang kita hasratkan untuk menang akan tercapai. Apabila tiba ‘d-day’ itu kita telah bersedia dan melangkah masuk ke medan perang ini dengan langkah untuk menang bukan langkah tidak menentu sama ada menang atau kalah.

“Saya berharap rakyat melihat secara objektif sebab anda dapat membandingkan dengan tiga kerajaan berbeza BN, PH dan Perikatan Nasional (PN) siapa terbaik yang telah membuktikan prestasinya.

“Kita tidak mahu rakyat membuat langkah yang salah lagi seperti mana yang berlaku pada PRU-14 lalu yang telah mengundurkan negara yang telah ke hadapan dari segi pembangunan akibat keputusan yang dilakukan pada pilihan raya tersebut,” tambahnya.

Justeru, Azlan yakin rakyat matang dan akan membuat keputusan yang baik demi masa depan negara.

“Berdasarkan pengamatan dari segi pandangan umum mereka melihat BN mempunyai rekod yang lebih baik secara ‘comparison’ berbanding parti lain insya-Allah rakyat akan memberikan kepercayaan kepada BN sekali lagi pada PRU-15,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit