Awasi Lambakan Isu Dan Fitnah, Kaji Dan Selidik Sebelum Buat Keputusan – Rozi

HULU TERENGGANU, 25 Julai – Rakyat disarankan agar berwaspada dengan lambakan isu yang dimanipulasi serta fitnah yang dilemparkan oleh pihak-pihak yang mahu menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Bahkan kata Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu Datuk Rozi Mamat, akan timbul lagi pelbagai isu yang pelik dan tambah menghairankan semuanya seolah-olah mahu mengaitkan dengan bekas Presiden dan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

“Akan ada lagi lambakan isu dan fitnah yang akan datang yang pelik-pelik dan kadang-kadang untuk mainkan sentimen, seperti kaitkan sebarang isu dengan Datuk Seri Najib.

“Saya nak pesan kepada anak muda terutama di Hulu Terengganu ini jika ada sesuatu isu kita kena selidik, kaji dan faham dahulu dan jika tidak faham tanya dahulu kepada yang faham apa sebenarnya isu ini yang dimainkan oleh media sosial sekarang, baru kita boleh buat keputusan.

“Jadilah rakyat yang matang dalam menangani isu demi agama, bangsa dan negara kita,” tegas Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu itu kepada UMNO Online baru-baru ini.

Seterusnya, Rozi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong berpandangan semua jentera parti perlu bekerja keras menangkis segala dakyah yang dilemparkan kepada UMNO dan BN dengan memberi penjelasan secara proaktif.

“Cuma kita sebagai jentera parti di semua peringkat baik pusat, negeri, bahagian dan DUN (Dewan Undangan Negeri) kita melaksanakan ikut apa organisasi yang kita ada melalui biro penerangan dan media sosial kita memberi penjelasan,” katanya.

Berhubung dengan pengaruh media sosial yang sangat kuat, Rozi berkata pihaknya telah menubuhkan jawatankuasa media sosial di peringkat Parlimen, DUN dan Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“Dan saya melihat terutamanya golongan muda yang sangat dipengaruhi media sosial mentalitinya. Dengan Whatsapp, Twitter, Facebook, Instagram semuanya tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

Begitu juga dengan pengundi 18 dan automatik, Rozi berkata mereka ini perlu disantuni dan didekati dengan sebaiknya serta diberi penerangan sebaiknya mengenai kelebihan parti.

Dalam perkembangan semasa dengan memberi contoh kepada sambutan hangat rakyat terhadap filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Rozi berpandangan rakyat mahukan sebuah kerajaan yang kuat, berpandangan jauh dan berupaya menjaga kepentingan mereka dan terbukti hanya BN sahaja yang bersifat demikian.

“Sekarang ini jika kita tahu kalau kita tengok pada pandangan saya ‘mood’ rakyat bukan sahaja di Terengganu bahkan di seluruh negara, rakyat memerlukan penyatuan dan sebuah kerajaan Melayu yang kuat.

“Kita boleh tengok kalau dulu siapa yang minat filem-filem macam Mat Kilau, tapi sekarang anak muda pun tengok siap pakai tanjak. Ini menandakan kepada kita dalam diri mereka ini memerlukan sebuah kerajaan yang kuat dapat melindungi dan berpandangan jauh.

“Tidak lain dan tidak bukan, hanya BN sahaja. Kalau orang lain memerintah tak jadi apa… huru-hara,” ujarnya lagi.

Oleh kerana itu katanya, negara ini memerlukan sebuah kerajaan yang kuat dan stabil agar dapat memberi fokus di dalam menyelesaikan masalah-masalah berkaitan kepentingan rakyat. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamad

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit