Rozi Optimis Rakyat Pilih BN, Dapat Beza Kerajaan Mana Lebih Baik

KUALA BERANG, 22 Julai – Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu Datuk Rozi Mamat optimis dengan penerimaan rakyat yang dilihat sangat positif kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, ini berdasarkan pengalamannya yang kerap bertemu dengan rakyat dan meluahkan kekecewaan terhadap pentadbiran kerajaan negeri Terenggau sekarang serta rata-rata mereka hanya menanti tibanya pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Sudah tentu orang nampak kalau nak terangkan bab kelemahan orang banyak sangat. Semalam pun ada orang buat tunjuk perasaan kepada kerajaan negeri. Saya tak masuk campur pun… semua kader-kader yang kempen Pas pada PRU-14.

“Mereka memang tidak puas hati sangat-sangat, kalau tengok dalam media sosial mereka buat ‘live’ berhubung isu tempatan berkaitan pengagihan tanah dan juga bantuan-bantuan yang sudah tiada sekarang. Bantuan (jika ada) pun sedikit sangat dan orang terpilih.

“Kita dulu bagi semua (tanpa mengira siapa). Dulu berjuta habis, sekarang berapa sahaja peruntukan mereka. Dari segi pembangunan, dari segi bantuan kepada rakyat banyak yang berbeza dengan BN, bukan saya nak angkat (puji) tapi sekarang orang sudah lihat, rasa, dulu tak rasa terutama generasi muda. Sekarang dah rasa dan boleh buat perbandingan mana lebih baik,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong itu ketika ditemui UMNO Online baru-baru ini di kediamannya di sini.

Justeru, Rozi menyeru rakyat di Hulu Terengganu memberi peluang kepada kerajaan BN untuk memerintah semula negeri dengan memberikan kemenangan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan itu.

“…supaya membela dan membantu rakyat dan sekarang ini rakyat sudah merasa segala-galanya dan beri peluang semula kepada BN.

“Siapa sahaja yang ditonjol oleh pucuk pimpinan, kita sokong, kita perlu beri sokongan yang padu untuk memenangkan BN dan juga UMNO di Hulu Terengganu,” katanya.

Tambah Rozi yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, walaupun begitu, pengaruh media sosial yang menjadi penyumbang kepada keputusan rakyat dalam membuat pilihan, isu-isu nasional dan pengundi luar juga perlu ditangani dengan sebaiknya bagi memastikan kemenangan parti kelak.

Mengulas mengenai kesiapsiagaan bagi menghadapi PRU-15 dan memastikan kemenangan BN, Rozi berkata bahagiannya telah bergerak awal dan pelbagai strategi telah diaturkan.

“Gerak kerja UMNO bahagian terus merancang kerja untuk mengekalkan kemenangan BN di Parlimen Hulu Terengganu dan kita juga memberi tumpuan kepada tiga lain DUN yang kita optimis untuk menang pada kali ini.

“Insya-Allah DUN Telemong akan kita pertahankan, DUN Ajil, Kuala Berang akan kita rampas dan Insya-Allah DUN Manir kita boleh menang,” katanya.

Begitu juga katanya dengan menumpukan golongan sasar dan program-program yang bersifat mikro serta menubuhkan jentera di peringkat Parlimen, DUN dan Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“Kita ada 142 cawangan dalam Hulu Terengganu dan 52 PDM dan 152 lokaliti. Dan semua PDM telah siap siaga dari segi fizikal, pejabat parti di peringkat lokaliti. Kita juga telah melantik semua jawatankuasa pilihan raya di semua peringkat, membuat pemantauan di peringkat PDM memasuki kali keempat bagi memastikan kesiapsiagaan mereka ini di tahap terbaik.

“Kita juga telah dihadiri oleh pemantau dari UMNO pusat yang dipengerusikan Datuk Seri Mahdzir Khalid (Naib Presiden UMNO) bagi peringkat Parlimen, PDM dan DUN,” ujarnya lagi.

Selain itu katanya, telah dilaksanakan kursus-kursus yang berkaitan portfolio pilihan raya dengan melibatkan jentera baik di peringkat Parlimen hinggalah ke peringkat lokaliti. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamad

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit