PRU15: Depani Pihak Lawan… Tolak Manipulasi Fitnah, Kembalikan BN Demi Kestabilan

KOTA KINABALU, 21 Julai – Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi mengajak orang ramai khususnya ahli-ahli UMNO dan anggota jentera parti untuk memainkan peranan penting dalam mendepani pihak lawan yang kembali menggunakan manipulasi dan fitnah dalam berpolitik.

Tegasnya, sekiranya tidak ditangkis maka ia akan berlarutan sedangkan mereka ini bersama Pakatan Harapan (PH) menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 adalah akibat fitnah dan janji-janji kosong mereka.

“Berdasarkan sokongan kita lihat momentum kembali kepada UMNO. Mereka sekarang seakan ketinggalan malah ada pemimpin-pemimpin pembangkang yang baru keluar, baru nampak muka kerana nak dekat pilihan raya.

“Tapi rakyat tahu, rakyat melihat bagaimana tindakan UMNO yang tidak pernah berhenti bersama rakyat walaupun kalah, maka perbandingan ini akan membuat rakyat menilai bahawa ada pemimpin-pemimpin yang cuma turun untuk meraih undi apabila tiba pilihan raya.

“Malah ada juga pemimpin yang ada parti tapi tak gunakan nama parti mereka pun untuk bergerak… sedangkan sepatutnya berterus terang,” katanya.

Berkaitan Parlimen Papar yang jatuh ke tangan pembangkang pada PRU-14 lalu, katanya, sampai masanya untuk kembalikan Parlimen terbabit kepada UMNO/BN.

“Sampai sudah masanya untuk kita ambil balik Parlimen Papar kerana kita dah merasai perit dan susahnya hidup dalam parti lain, maka kita seharusnya beri pertimbangan yang waras bahawa tiada orang lain boleh ubah atau berikan kemenangan kepada BN selain daripada diri kita sendiri.

“Saya berpesan kepada pengundi termasuk orang muda, pilihlah BN kerana selain daripada dapat memajukan negara, adalah yang lebih penting menstabilkan kedaan harmoni yang pelbagai kaum, agama dan bangsa.

“Kita perlu ingatkan rakyat bahawa mereka janji, ‘kaki kencing’ dan janji tak ditepati… rakyat mesti sentiasa diingatkan selalu. Dengan ingatan itu kita harap pengundi sedar dan faham antara PH, PN dan BN.”

Jelas Jamal, sememangnya ada kekesalan dalam kalangan rakyat Papar kerana jika kita kerajaan tidak jatuh ke tangan pembangkang selepas PRU14 tentunya jambatan Papar telah siap.

“Jambatan Papar adalah antara janji daripada Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu Perdana Menteri iaitu satu-satunya masalah yang melingkari rakyat hingga hari ini dan ada penyesalan.

“Namun ia jadi pengajaran bahawa parti lain tak akan dapat selesaikan masalah ini, hanya BN,” katanya yakin dalam wawancara eksklusif bersama UMNO Online.

Beliau berkata, dengan keadaan kaum, etnik dan agama yang pelbagai di Sabah, mana-mana kerajaan perlu sedar dan sentiasa proaktif.

“Buat perbandingan anatara BN, PH dan PN. BN dibentuk bukan hanya untuk mendapatkan kuasa setiap kali pilihan raya tetapi adalah hasil daripada hubungan antara kaum yang mampu mewujudkan perpaduan bagi memerintah bersama.

“Sedangkan PH dan PN hanya bekerjasama atau bersama-sama untuk menghadapi pilihan raya sahaja. Itu bezanya … kerana itu BN boleh bertahan lama sedangkan mereka hanya mahukan kuasa.

“Dalam UMNO/BN memang tersemat, malah tanpa beritahu pun orang maklum bahawa UMNO ini prihatin dan perjuangan dari awal sebagaimana sejarah.”

Tegasnya, walaupun ada yang kata tidak boleh lagi bergantung kepada sejarah kecemerlangan BN tapi mahu tidak mahu rakyat akan fikir dan melihat apatah lagi setelah merasa berada dalam pentadbiran PH dan PN.

Selaras itu, dengan kelahiran BN Sabah sebagai entiti baharu, beliau mengharapkan fokus untuk ‘new deal’ adalah antara kesiapsiagaan mendepani PRU ke-15. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit