Pekalah… Perubahan Dasar Ekonomi Mesti Kena Pada Waktunya
PERUBAHAN dasar ekonomi mesti kena pada waktunya.
Dalam apa-apa dasar yang hendak dilakukan, baik atau buruk, ‘timing’ atau waktu yang tepat adalah kritikal. Banyak sahaja dasar yang baik dan perlu, ditolak dan ditentang habis-habisan kerana tidak diumumkan pada waktu dan situasi yang betul dan sesuai. Dan sebaliknya.
Kebelakangan ini, isu subsidi terutamanya subsidi minyak petrol banyak dibangkitkan. Nilai subsidi kini dikatakan hampir mencecah RM80 bilion. Lebih teruk, subsidi yang bersifat ‘blanket’ atau umum ini dilihat banyak memanfaatkan golongan bukan sasaran. Yang kaya dan mereka yang memerlukan sama-sama menikmatinya pada kadar sama.
Benar, ini bukan dasar yang baik. Benar, ia perlu dirombak dan tidak boleh diteruskan.
Namun, kerajaan juga mesti melihat kesesuaian dan ‘timing’ yang strategik untuk melakukan semua itu. Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang.
Kita tidak boleh terus melakukan kesalahan perhitungan dalam perkara paling dasar dan penting seperti ini. Apa lagi mengambil langkah populis.
Kalau subsidi minyak petrol hendak dikurangkan dalam masa terdekat ni, jawabnya seperti mencurahkan minyak petrol ke dalam api kemarahan yang sedang marak.
Kerajaan akan terus dibenci. Kerajaan akan terus dipersalahkan dalam segala macam hal, dan beban, yang sedang ditanggung rakyat.
Keputusan sebegitu tidak ubah seperti tikus membaiki labu. Masalah di tangan tidak selesai, musibah baharu pula yang kita undang.
Justeru, komunikasi dasar perlu diperhebatkan dan disusun dengan terancang dan strategik. Ia mesti menjurus dan tidak boleh bersifat pukul rata.
Masyarakat kita rencam. Banyak latar, banyak ragam.
Sebab itulah komunikasi dan penyampaian dasar mesti bersandarkan empati kepada rakyat.
Mesti mempunyai nilai ihsan. Mesti ada sisi mendidik dan memberi kesedaran yang tidak bersifat paksaan.
Dasar ekonomi dan polisi negara tidak boleh dipacu perkiraan ringgit dan sen semata-mata.
Justeru pekalah dengan masa yang tepat, sesuai dan realistik.
MOHAMAD HASAN
TIMBALAN PRESIDEN UMNO
*************************