NGO Geng 18 Alternatif Dekati Golongan Muda, Jelas Kepentingan Mengundi Demi Masa Hadapan
KUALA LUMPUR, 19 Julai – Pergerakan Pemuda UMNO Sungai Besar menggunakan pendekatan yang lebih realistik dan proaktif dalam mendekati golongan muda.
Ketuanya, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata mendepani undi 18 tahun yang sudah diluluskan dan akan dilaksana pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pihaknya telah menggerakkan badan bukan kerajaan (NGO) Geng 18 untuk mendekati golongan ini.
“Geng 18 telah bergerak selangkah ke hadapan di mana kita menggerakkan NGO ini agar mendekati kumpulan anak-anak muda secara tidak formal.
“Fokusnya ialah mereka yang tidak mempunyai kecenderungan tertentu kerana ada jumlah besar di luar sana tidak ada latar belakang politik tapi ada minat masing-masing mungkin dari segi sukan, media sosial dan lain-lain,” katanya ketika ditemui UMNO Online baru-baru ini.
Bercakap mengenai persiapan jentera Pemuda Bahagian, Mohd Imran berkata persiapan sudah dilaksanakan sebaiknya bagi memastikan UMNO/ Barisan Nasional (BN) merampas kembali kerusi Parlimen Sungai Besar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan di samping mengekalkan DUN Sungai Panjang.
“Jadi kita di peringkat parti dan formal ini kita mensiap-siagakan semua jentera baik di peringkat bahagian, pusat daerah mengundi, cawangan, jentera pemuda untuk bekerja pada PRU15.
“Saya sebagai ketua pemuda selari dengan gerak kerja di peringkat UMNO dan BN bahagian. Jentera sudah pun bersedia dan boleh digerakkan pada bila-bila masa sahaja sekiranya sampai masa dan ketika difikirkan sesuai oleh pucuk pimpinan parti untuk melaksanakan PRU.
“Kita juga sudah bersedia dari awal terutama kesiap-siagaan dari segi portfolio baharu yang diberikan kepada Pemuda iaitu sebagai ajen mengundi, mengira dan barong (PACABA),” ujar beliau. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib