Perak Bakal Ada Badan Khas Kawal Selia Penggunaan Sumber Air

IPOH, 18 Julai – Kerajaan negeri hari ini membentangkan Rang Undang-Undang Sumber Air (RUUSA) Perak 2022 yang antara lain bakal mewujudkan sebuah badan khusus bagi mengawal selia penggunaan sumber air negeri.

Sewaktu membentangkan RUU tersebut, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata apabila diluluskan kelak, aspek pelesenan dan penguatkuasaan yang melibatkan sumber air dapat dipantau selain pengurusan bersepadu bagi penggunaan, pembangunan dan perlindungan sumber air.

“Telah timbul keperluan dasar untuk menggubal satu undang-undang negeri baharu yang teratur dan menyeluruh bagi menggantikan Akta Air 1920 [Akta 418] dan undang-undang yang berhubung dengannya.

“Oleh itu, RUUSA Perak 2022 ini digubal bertujuan mengadakan peruntukan tersebut serta menubuhkan Lembaga Pengurusan Sumber Air Perak dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini, hari ini.

Saarani berkata RUUSA Perak 2022 yang digubal ini mengandungi 94 fasal peruntukan antaranya fungsi dan kuasa lembaga Pengarah, pekerja, pentadbiran, kewangan dan Kumpulan Wang Pembangunan Air.

Jelasnya, antara negeri lain yang telah meluluskan enakmen berkaitan pengurusan sumber air adalah Selangor (1999), Kedah (2008) dan yang terkini Terengganu (2020) dengan ketiga-tiga negeri itu telah menubuhkan badan pengurusan sumber air negeri masing-masing iaitu Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) dan Lembaga Sumber Air Terengganu.

Dalam sesi perbahasan RUU itu, Loh Sze Yee (DAP-Jalong) berkata terdapat keperluan untuk diwujudkan enakmen tersebut, namun terdapat peruntukan yang tidak diperlukan dan kerajaan perlu melihat kesan yang bakal berlaku selepas ia diluluskan kelak.

“Sekiranya terlebih sumber air akan terjadi masalah banjir kilat, apabila tidak cukup akan jadi masalah kemarau sehingga tanaman mati dan sebagainya.

“Kita faham RUU dikemukakan untuk bantu dari segi sumber pendapatan kepada kerajaan negeri jadi di sini saya hendak bawa Dewan lihat dalam keghairahan kita untuk cari sumber pendapatan alternatif kena lihat apa akan terjadi selepas diluluskan,” katanya.

Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (BN-Pangkor) ketika mencelah perbahasan Jamilah Zakaria (BN-Trong) pula berkata RUU itu mempunyai keunikan tersendiri kerana ia berhubung kait dengan soal pengurusan dan penggunaan air serta kawasan-kawasan persisiran pantai dengan had yang sepatutnya berada dalam lingkungan negeri. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.