UMNO/BN ‘Hero’ Permasalahan Rakyat, Tolak Mereka Yang Hanya Buat Janji Palsu

KOTA KINABLU, 15 Julai – Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffrey Nor Mohamed menegaskan bahawa rakyat usah lagi dimomokkan dengan janji-janji palsu daripada parti-parti lain selain daripada Barisan Nasional /UMNO yang terbukti banyak berjasa selama ini.

Ujarnya, dalam keadaan sekarang ada keperluan UMNO/BN menjadi ‘hero’ kepada pelbagai permasalahan rakyat.

“Rakyat berdepan soal pekerjaan, permasalahan infrastruktur, penempatan dan macam-macam lagi yang perlukan pembelaan dan hal ini diyakini bahawa hanya UMNO/BN yang mampu mengurusnya dengan baik.

“Kita dah dimomokkan dengan keadaan 22 bulan yang tidak menentu, ada macam-macam janji Pakatan Harapan (PH) dan parti Warisan yang tidak ditepati malah anak muda pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 mengundi mereka juga adalah kerana janji PTPTN, tapi kini terbukti cuma janji palsu.

“Adakah kini masih boleh kita percaya? Mereka yang masih duduk atas kerusi Parlimen Putatan sudah salah kerana janji tak ditepati… jika janji dah tak betul maka mentadbir pun tak betullah,” katanya.

Jelasnya, selepas melalui tempoh 22 bulan dan kemudiannya dalam Perikatan Nasional (PN) yang serba bercelaru maka sudah sampai masanya untuk kembalikan negara malah Parlimen Putatan kepada mereka yang benar-benar mahu bantu rakyat.

“Kita dimomokkan dengan tuduhan atau sangkaan jahat daripada parti lawan yang mengatakan UMNO/BN macam-macam malah baru-baru ini kita dituduh membuat dokumen kad pengenalan kepada pendatang asing tetapi ditegaskan bahawa kita adalah anggota yang sentiasa mengikut perundangan.

“Mereka jangan jadi hipokrit untuk menceritakan sesuatu yang pernah dilakukan oleh mereka sendiri dulu dan kini dengan cerita lain untuk mendapatkan populariti. Kalau rasa ada keperluan atau salah maka maklumkan kepada agensi atau pihak berkuasa, buatlah laporan.

“Di sini saya tegaskan bahawa UMNO/BN tetap menjaga mana-mana kaum, semua bangsa dan semua agama.”

Dalam hal ini beliau menyelar kepimpinan parti Warisan yang dianggap tidak menjaga kepentingan rakyat.

“Ini adalah kerana kebodohan mereka, duduk dalam kabinet dan membuat perjanjian-perjanjian yang tidak guna hingga menyebabkan rakyat susah. Sekarang ini apa yang kita rasa adalah kesan daripada kebodohan mereka.

“Mereka sedang menipu rakyat untuk mendapat kedudukan, pangkat dan kuasa, maka sudah sampai waktunya tukar dan jangan terima lagi mereka yang memomokkan kita yang janji macam-macam, konon ‘terang bulan’, bila nak PRU ‘bom’ sana… ‘bom’ sini tapi sekarang apa yang mereka lakukan… bila ditegur dan rakyat marah barulah dihantar bakul makanan.”

Jelasnya, hal terbabit berbeza dengan UMNO/BN yang sentiasa bertanya khabar dan menghulurkan bantuan walaupun kalah dan tidak menjadi pemimpin tempatan dalam kerajaan.

“Demi rakyat sentiasa kita lakukan. Kita mesti maklumkan dan ingatkan rakyat tentang janji-janji palsu mereka. Rakyat juga perlu tahu bahawa kita ikhlas kepada mereka setiap masa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara eksklusif bersama UMNO Online di pejabatnya, di sini, baru-baru ini.

Berhubung PRU ke-15 yang bakal menjelang tiba, beliau mengharapkan agar kerusi Parlimen terbabit diserahkan kepada calon UMNO sebagai manifestasi menghargai kesetiaan dan kesungguhan para anggotanya yang tetap bersama parti.

“Jika diberikan peluang maka ia bermakna bukan untuk calon terbabit tetapi sebagai tanda terima kasih kepada pejuang-pejuang parti yang sentiasa mempertahankan UMNO waktu susah dan senang.

“Berikan peluang kepada kami agar perasaan penghargaan ini nampak dan sampai. Namun kita percaya dengan gandingan kuat dan keprihatinan kepimpinan atasan parti, saya menjangkakan kalau PRU15 berlaku maka kita akan dapat mengembalikan kerusi Putatan kepada BN,” katanya yakin. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit