KXP: Kerajaan Negeri Tidak Kompeten Urus Inisiatif Strategik

1. Sekalipun sangat mengecewakan, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila mengikut perkembangan pembinaan Lapangan Terbang Kulim (KXP). Tindakan pihak pemaju yang dilantik dan dipilih oleh Kerajaan Negeri Kedah untuk meninggalkan projek tersebut menggambarkan banyak kelemahan dalam tadbir urus kerajaan negeri.

2. Inisiatif mega ini seharusnya sudah melepasi fasa pelaksanaan dan bukannya masih pada takuk mencari-cari rakan dan pelabur strategik. Malah, adalah memalukan Kerajaan Negeri apabila pemaju yang diberikan projek akhirnya menarik diri.

3. Semua ini memberi beberapa petunjuk penting.

4. Pertama, Kerajaan negeri di bawah pentadbiran Menteri Besar sekarang gagal menjadi pemilik projek yang kompeten dan bertanggungjawab. Jelas tidak penilaian korporat ataupun “due diligence” ke atas kemampuan syarikat secara tuntas dan teliti. Penilaian tidak hanya berdasarkan kemampuan kewangan dan pelaburan semata-mata, malah perlu meliputi semua termasuk sejarah pelaburan dan aktiviti korporat lampau.

5. Kedua, Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Menteri Besar yang ada sekarang tidak ada strategi yang jelas untuk menyelesaikan isu pembiayaan ataupun “funding”. Ini adalah fokus asas yang perlu menjadi perhatian. Untuk membiayai kos pembinaan dan operasi projek se-mega KXP, Kerajaan perlu ada strategi pembiayaan yang jelas dan berkesan. Malah, kerajaan sepatutnya mempunyai Pelan B sekiranya strategi pembiayaan asal tidak berhasil.

6. Ketiga, perjalanan pencarian dan pembentukan rakan niaga di dalam inisiatif KXP ini dijalankan dengan penuh misteri. Diberitakan tiada pembentukan jawatankuasa khas dan tidak ada sebarang taklimat khusus kepada ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (DUN). Seharusnya inisiatif yang amat penting ini dilaksanakan dengan telus dan profesional bagi memastikan setiap pihak dan pemegang taruh dapat menyumbangkan idea dan teguran membina.

7. Keempat, Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Menteri Besar mengguna pakai pendekatan semberono. Umum dulu, fikir kemudian. Rakyat hanya diumpan dengan nama besar dan pengumuman besar bagi menunjukkan Kerajaan Negeri ada berbuat sesuatu. Sedangkan impak semua itu memberi implikasi kewangan berbilion ringgit.

8. Ringkasnya, seluruh pengurusan KXP Airportcity Holdings Sdn Bhd iaitu syarikat bertanggungjawab dalam urusan pembinaan “Kedah Aerotropolis” harus bertanggungjawab.

9. Saya tak pasti sama ada wujudnya penggunaan dana rakyat di dalam pengurusan ini atau tidak. Namun saya yakin wujudnya unsur-unsur ketidakcekapan, salah tadbir urus dan kecuaian yang serius dalam aspek penilaian rakan niaga dan keseluruhan pelan pelaksanaan.

10. Saya mohon pihak kerajaan negeri untuk melakukan perkara berikut:

a. Satu – memberikan penjelasan yang terperinci terhadap perkara yang terjadi. Masyarakat umum khususnya rakyat negeri Kedah berhak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku dan mengapa perkara ini boleh berlaku.

b. Dua – menjelaskan apakah strategi susulan yang akan dilakukan oleh kerajaan dan apakah penambahbaikan yang akan dilakukan dalam strategi lanjutan ini. Melakukan pelan tindakan yang sama sebelum ini sudah pastilah tidak akan memberikan sebarang penambahbaikan.

c. Ketiga – hentikanlah budaya melakukan pengumuman-pengumuman besar tanpa sebarang pengisian dan strategi yang jelas. Perkara tersebut sangat tidak bertanggungjawab dan tidak adil kepada masyarakat. – UMNO ONLINE

Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit