Telahan BN Telah Sampai Ke Penghujungnya Tak Tepat, Rakyat Rindu BN Kembali – Zahid
KOTA KINABALU, 2 Julai – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa telahan yang mengatakan BN telah sampai ke penghujungnya setelah tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 tidak tepat.
Sebaliknya kata beliau, rakyat rindukan BN dan mengharapkan BN kembali menjadi kerajaan selepas PRU-15 nanti.
“Rakyat amat rindukan BN, amat sayang kepada BN dan mahukan BN jadi kerajaan semula.
“Kalau mereka harapkan pada kita maka jangan hampakan rakyat. Kerana itu kita harus wujudkan kesepaduan minda dalam kalangan kita,” katanya.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam bersama kepimpinan BN Sabah, di sini, malam tadi.
Kata Zahid, fokus BN ketika ini adalah untuk hadapi apa saja kemungkinan termasuk PRU.
“Atas kebangkitan ini saya yakin BN akan kembali semula dalam PRU ke-15.
“Jika pihak luar kata BN telah berakhir tapi sebenarnya ada hikmah kekalahan itu, misalnya di Sabah tidak ramai yang fikir BN Sabah akan naik semula tapi atas komitmen ahli-ahlinya, kini kita jadi sebahagian daripada kerajaan.
“Selain empat parti teras dalam BN kita ada lapan parti-parti gabungan. Ia tak terhenti di situ kerana sekarang ada empat permohonan dari parti lain untuk sertai BN, maka jika BN dah ada di hujung hayat politik… tak mungkin akan ada yang nak masuk (BN).”
Beliau turut menekankan bahawa hakikat politik sangat dinamik, tidak statik dan berubah mengikut keperluan zaman.
“Kepimpinan baharu penting tapi tanpa kepimpinan lama relevennya kewujudan BN itu tidak sempurna.
“Misalnya, tidak ada dalam Perlembagaan BN jawatan pengerusi lembaga penasihat BN tapi kita merasakan Datuk Seri Najib harus diberikan penghargaan dalam politik BN maka ia diwujudkan.”
Kerana itu katanya, BN sentiasa mendukung hasrat rakyat dan akan bangkit bukan saja di Putrajaya tetapi juga negeri-negeri lain termasuk di Sabah.
Turut bersama dalam majlis berkenaan ialah Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan, Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub dan Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar serta kepimpinan BN tempatan. – UMNO Online