Media Mainkan Peranan Penting Pastikan Konteks Sebenar Berita Tidak Cetus Ketegangan

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Peranan media adalah amat penting bagi memastikan konteks sebenar sesuatu berita yang berpotensi menjadi pencetus ketegangan dapat disampaikan dengan baik, kata Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri Shahril Sufian Hamdan.

Beliau berkata untuk memperkukuhkan lagi tindakan itu, kedudukan organisasi seperti Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) cukup istimewa sebagai antara saluran diplomasi rakyat atau diplomasi media antara kedua-dua negara.

“Saya percaya atas kesedaran yang sama itu jugalah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) pada bulan lepas mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi memastikan Iswami (Malaysia) dapat melaksanakan aktiviti-aktiviti mengukuhkan hubungan media Malaysia dan Indonesia serta negara-negara jiran lain yang telah terjalin sekian lama.

“Peruntukan yang diberikan ini dilihat dapat membantu Iswami dalam merancang program kerjasama media kedua-dua negara. Hubungan istimewa kerjasama Malaysia dan Indonesia mesti sentiasa dipertingkatkan kepada satu tahap yang benar-benar dapat mencapai potensi dan relevan kepada cabaran semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri Bersama Delegasi Media Indonesia di sini, malam tadi.

Turut hadir Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin, Penasihat Iswami Datuk Zakaria Abdul Wahab, Presiden Iswami Malaysia Datuk Mokhtar Hussain dan delegasi media Indonesia.

Pada 29 Mei, Ismail Sabri mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada Iswami bagi membolehkan ia melaksanakan aktiviti-aktiviti mengukuhkan hubungan media antara Malaysia dan Indonesia serta negara jiran lain yang sudah terjalin sejak sekian lama.

Sementara itu, Roslan ketika memberi ucapan alu-aluan berkata Bernama akan tetap menganjurkan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) pada 29 Mei 2023 dengan sokongan media yang lain dan sudah pasti bakal menjemput rakan-rakan media dari Indonesia.

Beliau berkata jemputan itu adalah atas dasar setiakawan dan sewajarnya mereka meraikan persaudaraan itu kerana wartawan tetap mempunyai peranan yang sama.

“Peranan yang paling penting adalah untuk ibu pertiwi kita, maksudnya wartawan Indonesia menjaga Indonesia, wartawan Malaysia menjaga Malaysia.

“Sebenarnya banyak konflik, isu boleh diselesaikan oleh kedua-dua negara ini di atas meja, bukan di atas meja pemimpin atau menteri tetapi di atas meja media itu sendiri sebab kadang-kadang konflik ini kecil sahaja tetapi diperbesarkan oleh media atas dasar sensasi,” katanya.

Delegasi media Indonesia menyertai program Lawatan Setia Kawan Media Indonesia ke Malaysia bermula 28 Jun hingga 1 Julai yang merupakan anjuran Iswami Malaysia. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit