Pertuduhan Terhadap Saya Bermotif Politik – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 29 Jun – Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram ke atasnya bermotifkan politik.

Ahmad Zahid berkata ia adalah hakikat sebenar yang berlaku kepadanya dan pemimpin politik lain yang diheret ke mahkamah.

Beliau berkata demikian semasa disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran pada prosiding membela diri atas 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi (YAB).

Raja Rozela: Sepanjang beberapa tahun kes ini berjalan, tiada keterangan yang dikemukakan oleh pendakwaan yang boleh dikaitkan sebagai bermotifkan politik, selain fakta yang anda seorang ahli politik.

Ahmad Zahid: Dari segi pendakwaan secara atas kertas memang tidak, tapi di belakang, saya mengetahui sangat ia bertujuan untuk bermotifkan politik.

Raja Rozela: Saya tertarik dengan keterangan Datuk Seri (Ahmad Zahid) semalam, Datuk Seri sebut tentang isu penyelewengan wang atau pecah amanah dan Datuk Seri sebutkan nama tiga Ahli Parlimen dalam konteks itu. Bila saya dengar, terlintas dalam fikiran tentang isu politik dan wang yang mana isu politik dan wang ini bagaikan tidak dapat dipisahkan, munasabah saya cakap begitu?

Ahmad Zahid: Setiap ahli politik parti mana pun, seseorang itu sangat memerlukan wang bagi melaksanakan aktiviti politik. Wang bukan segalanya, tetapi segalanya perlukan wang.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tidak bersetuju dengan Raja Rozela bahawa kes rasuah, penyelewengan dan penipuan semakin berleluasa di negara ini.

Raja Rozela: Maknanya Datuk Seri tak baca artikel baru-baru ini di The Wall Street Journal bahawa Malaysia berada di kedudukan pertama dalam negara paling ‘corrupt’ di dunia, sedih dengar. Datuk Seri ada baca?

Ahmad Zahid: Baca tajuk dan sepintas lalu.

Kepada soalan Raja Rozela, sama ada terdapat kebenaran dalam perkara yang dilaporkan dalam The Wall Street Journal, Ahmad Zahid menjawab: “Tulisan begitu berdasarkan dua elemen iaitu rasuah dan persepsi rasuah yang pada hemat saya persepsi lebih diutamakan daripada indeks sebenar”.

Beliau bagaimanapun bersetuju dengan cadangan Raja Rozela bahawa kes rasuah masih membimbangkan.

Ahmad Zahid juga bersetuju dengan Timbalan Pendakwa Raya itu bahawa negara mempunyai prinsip kedaulatan undang-undang iaitu tidak kira sama ada seseorang itu miskin atau kaya, semuanya sama di sisi undang-undang.

“Tetapi bukan untuk tuduhan-tuduhan terpilih,” kata Ahmad Zahid.

Raja Rozela: Saya beri contoh, sekiranya seseorang ahli politik dituduh mengambil rasuah, antara alasan yang diberikan pertuduhan adalah konspirasi berbaur politik, tetapi sekiranya yang dituduh berkaitan rasuah adalah seorang tukang kebun sekolah, tak mungkin ia akan menimbulkan alasan yang sama (konspirasi berbaur politik) setuju?

Ahmad Zahid: Kalau tukang kebun itu ketua cawangan atau pemegang jawatan dalam parti politik, perkara yang sama akan berlaku terhadap tukang kebun itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit