Subsidi Dan Harga: Apa Sebenarnya Pelan Kerajaan Ni?

Bukan mudah untuk mengurus cabaran inflasi, terutamanya apabila mengambil keputusan untuk mengalih pendekatan seperti dijelaskan oleh YAB Perdana Menteri petang tadi.

Ringkasan pengumuman:
Sebelum ini penerima BKM sepatutnya dapat amaun RM300 (bujang) sehingga maksima RM2500 (isirumah >3 anak) setiap isi rumah. Tetapi sekarang ada tambahan RM100 bagi golongan keluarga dan RM50 bagi golongan bujang.

Bermakna jumlah BKM yang akan diterima setiap isi rumah/individu adalah minima RM400 dan maksima RM2600.
Antara kekhuatiran yang timbul dan sedikit penjelasan berkenaan hal ini:
1. Kerajaan tarik subsidi, membebankan rakyat
Dalam erti kata sebenar, bukan Kerajaan tarik subsidi tetapi mengalih subsidi. Dalam hal ayam, Kerajaan mengalih belanja subsidi dari penternak kepada pengguna melalui tambahan BKM sebanyak RM100 kepada keluarga dan RM50 kepada bujang yang akan dimanfaat oleh 8.6 juta penerima.

2. Jumlah subsidi kepada penternak berapa? Jumlah subsidi kepada pengguna berapa?
Walaupun Kerajaan memperuntukkan RM720 juta subsidi kepada penternak seperti diumumkan pada 9 Feb 2022, setakat 15 Jun, hanya RM260 juta dimohon dan dari itu RM168 juta yang telah dibayar kepada penternak. Berbanding RM638 juta akan diturunkan kepada penerima BKM.

3. Bermakna dengan pendekatan ini Kerajaan belanja lebih dari sebelumnya?
Ya. Dan terus kepada pembeli yang memerlukan.

4. Tapi kenapa sebelum ini hanya RM168 juta dibayar kepada penternak? Patutla ada penternak yang bising dan harga naik.

Pelbagai sebab. Antaranya:
a) Ada penternak tidak berlesen dan secara automatik tak akan minta atau dapat subsidi asal itu.
b) Ada juga penternak yang tidak mahu ‘declare’ pengeluaran sebenar.
c) Dan diakui, ada juga kelemahan dan birokrasi menyebabkab pembayaran lewat atau permohonan sukar.

5. Kenapa tak perbetul dan permudahkan saja birokrasi itu? Kenapa kena ubah sasaran belanja subsidi ke hiliran (pengguna)?
Memang perlu diperbaiki. Tapi tidak akan selesaikan faktor 4(a) dan 4(b). Jadi masalah duit tak turun kepada sebahagian penternak tetap akan ada (seperti disebut dalam poin 2, permohonan hanya RM260 juta). Untuk jangka masa segera, Kerajaan ambil keputusan pastikan belanja itu tetap sampai kali ini kepada pengguna.

6. Selama ini penternak dapat subsidi lambat. Apa jaminan pengguna akan dapat awal?
Lebih mudah kerana data penerima BKM sudah sedia ada. Bukan seperti penternak kena daftar, mohon, dan buat perakuan pengeluaran kemudian tunggu proses. Kerajaan komited ia akan mula sampai kepada penerima pada 27 Jun. Harga siling akan berhenti berkuatkuasa 1 Julai.

7. Tapi dulu harga siling RM8.90/kg merangkumi semua pengguna. Sekarang hanya penerima BKM atau B40? M40 pun terkesan. T20 pun terkesan.
Penerima BKM ialah seramai 8.6 juta. Ini mencakupi ketua isi rumah dan individu bujang, dan dianggarkan memanfaatkan 60% rakyat. Jadi bukan hanya B40 tapi jaringannya sudah lebih luas daripada itu.

8. Ya tapi apa jadi dengan sebahagian M40 dan T20?
Kerajaan terpaksa membuat pilihan siapa yang perlu diutamakan walaupun tidak menafikan kesan inflasi dirasai semua. Tetapi perbelanjaan subsidi bersifat pukal akan sentiasa lebih menguntungkan golongan berpendapatan tinggi. Mengikut Khazanah Research Institute, sekitar 60%-80% subsidi di Malaysia dinikmati golongan berpendapatan tinggi. Dari RM1 subsidi Kerajaan belanja, golongan B40/M40 hanya dapat 20 ke 40 sen sahaja.

9. Jadi BKM ini lebih bersasar?
Ya. Dan lebih adil. Dan dapat tangani masalah poin (4) tadi. Sebelum ini pun walaupun harga siling RM8.90 ada tempat jual (atau terpaksa jual) lebih tinggi kerana harga siling lebih rendah dari kos dan mereka tak dapat subsidi atas faktor yang dijelaskan dalam (4).

10. OK kalau pun bersasar, RM100 cukupkah menampung kenaikan harga?
Harga ayam dijangka meningkat ke RM10-RM12 apabila kawalan harga dimansuhkan.
Katakan satu contoh isi rumah akan beli 2kg ayam setiap minggu. Seminggu kos tambahan sekitar RM6. Sebulan RM24.
RM100 tidak akan selesaikan semua masalah tetapi dapat menampung kenaikan harga buat seketika.

11. OK, itu cerita ayam. Apa cerita minyak masak? Kenapa tarik subsidi?
Subsidi minyak tulen diberikan bermula Ogos 2021 dan sepatutnya hanya sehingga Oktober 2021. Kerajaan melanjutkannya sehingga Jun 2022.
Untuk menjamin bekalan minyak botol bagi jangka masa panjang Kerajaan memutuskan penghapusan subsidi minyak botol 2kg dan 5kg. Tetapi masih meneruskan subsidi bagi minyak masak paket 1kg yang kekal pada harga RM2.50. Kerajaan akan tanggung kos subsidi sebanyak RM6.50 bagi setiap kilogram.

12. Bila subsidi ditarik, harga diapung, inflasi akan naik. Apa guna gaji minima dan BKM bila inflasi naik?
Inflasi di dunia sekarang 9.2%. Di Malaysia ia 2.3%. Kenapa boleh beza? Kerana subsidi kepada pengeluar dan kawalan harga. Kalau bukan sebab itu, tidak mungkin inflasi Malaysia sekarang boleh angka sekarang.

13. Jadi angka inflasi kita selama ini tidak mencerminkan tekanan harga sebenar?
Ya. Ia satu angka “artificial” yang disebabkan intervensi Kerajaan di peringkat huluan (pengeluar/penjual). Sekarang, Kerajaan buat keputusan alih sebahagian pendekatan dan beri duit kepada hiliran (pengguna/pembeli). Bila beri kepada hiliran, harga akan naik, inflasi naik, tapi pengguna memerlukan akan dapat bantuan untuk menampung kenaikan itu. Lebih efisien dari cuba menekan harga rendah tetapi kesannya tak seperti diharapkan (rujuk poin 4, 8, 9)

14. OK, tapi susah nak percaya selama ini inflasi hanya 2% atau 3%. Harga roti canai, kopi dan lain-lain naik puluhan %. Boleh percaya ke angka rasmi Kerajaan ni?

Jabatan Perangkaan mengiktiraf bahawa inflasi makanan lebih tinggi pada kadar 4%.
Angka inflasi adalah merujuk kepada pengiraan Jabatan Perangkaan Negara mengikut Indeks Harga Pengguna (IHP) yang memaparkan statistik meliputi 12 kumpulan utama barangan dan perkhidmatan. Sejumlah 833 item barangan dan perkhidmatan dikutip setiap bulan untuk pengiraan IHP.

Ada harga yang turun tetapi tidak dilaporkan oleh media. Diakui, item yang termasuk dalam IHP perlu dikemas kini bagi lebih mencerminkan inflasi sebenar.

15. Kenapa zaman PH harga ayam hanya RM6/kg?
Sepanjang 2017 sehingga sebelum Covid19 melanda pada tahun 2020 harga-harga komoditi stabil dan kekal rendah. Untuk perbandingan:

Tahun 2019:
-Jagung sekitar USD350-USD450.
-Kacang soya sekitar USD800-USD900.

Hari ini:
-Jagung dijual USD760.
-Kacang soya dijual USD1670.
Peningkatan harga jagung sebanyak 90% dan kacang soya sebanyak 96%.
Kos pengangkutan pula meningkat sebanyak 500% dari 2019.
Sebab itu harga ayam rendah tahun 2017-2019.

16. Bukan harga ayam sahaja yang naik, semua naik, apa Kerajaan nak buat?
Ya, memang cabaran yang Kerajaan sedang hadapi dan tengah mencuba sedaya upaya untuk menangani keadaan semasa. Realitinya Malaysia tidak berseorangan dalam menghadapi cabaran ini. Negara lain di rantau ini seperti Filipina, Korea, Thailand, dan Indonesia mengalami inflasi yang lebih tinggi.
Kerajaan telah melaksanakan pelbagai perkara bagi ayam dari penghapusan AP, penghentian eksport, dan lain-lain langkah.

Dalam Bajet 2022, RM1.5 bilion diperuntukkan bagi subsidi benih dan baja.
Yang terbaru, hari ini BKM tambahan. InsyaAllah akan ada lagi pengumuman inisiatif meringankan bebanan kos sara hidup oleh Kerajaan.

17. Ada yang kata semua subsidi ditarik. Betul ke?
Tidak betul. Subsidi bagi minyak masak 1kg diteruskan. Subsidi bagi petrol RON95 dan Diesel juga masih diteruskan.

Malaysia antara negara yang paling banyak belanja terhadap subsidi. Dianggarkan sekitar 4.7% dari KDNK dibelanjakan terhadap subsidi. Lebih tinggi dari Indonesia 2.7% dan Filipina 0.2% serta purata negara OECD
1.5%. Perbelanjaan ini juga lebih tinggi dari peruntukan tahunan terhadap kesihatan yang sekitar 3.8% dari KDNK.

Subsidi kalau berubah ialah untuk dialih dan digunakan untuk pendekatan yang lebih bersasar.
Tahun 2021 Kerajaan belanja RM15.5b terhadap subsidi kepenggunaan meliputi item seperti petrol, diesel, minyak masak, LPG, tepung. Tahun 2022 angka ini bakal mencecah RM50b. Jadi tak timbul soal Kerajaan hapuskan semua subsidi.

SHAHRIL HAMDAN
Ketua Penerangan UMNO Malaysia

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.