Pemuda UMNO Bertegas Tetapkan Hala Tuju DNB Dengan Jelas Sebelum Nasi Menjadi Bubur

KUALA LUMPUR, 21 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berharap kerajaan terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia membuat siasatan menyeluruh terhadap Digital Nasional Berhad (DNB) supaya wujud transperansi dan urus tadbir korporat yang telus.

Exconya, Fairuz Jamaludin mencadangkan supaya kerajaan menetapkan hala tuju DNB dengan jelas sebelum negara terjerumus ke dalam skandal kewangan berskala besar yang akhirnya membebankan rakyat dengan kos telekomunikasi yang amat tinggi.

“Pegawai teringgi DNB yang terlibat rasuah patut dikeluarkan dan diganti dengan personal yang lebih bersih dan profesional.

“Tindakan ini penting bagi memastikan objektif ulung pelaksanaan 5G Kebangsaan dapat dicapai dan pada masa yang sama melindungi kepentingan nasional dan kesejahteraan rakyat jelata.

“Pada masa yang sama sebelum nasi menjadi bubur Pemuda UMNO Malaysia tidak mahu wujud lagi skandal korporat yang besar dan boleh merosak reputasi Malaysia di mata dunia,” katanya menerusi sidang media sebentar tadi selepas menyerahkan memorandum kepada Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkenaan isu ini.

Beliau juga mendesak penerangan terperinci diberikan termasuk kos sebenar mengikut pecahan tahunan, peralatan, kos operasi rangkaian 5G negara dan penjelasan terperinci harga jualan secara pukal kepada syarikat telekomunikasi.

Jelas Fairuz, penjelasan ini harus diberikan kepada pihak ketiga yang bukanlah pemegang taruh kepada syarikat DNB dan diluluskan di peringkat Kabinet.

“DNB juga wajib menerima pegawai SPRM secara pinjaman untuk bertugas di DNB bagi memastikan proses perolehan dan perbelanjaan di DNB adalah menepati piawaian yang ditetapkan oleh SPRM.

“Pihak pengurusan tertinggi DNB juga harus membuat deklarasi aset dan diluluskan penjawatannya oleh Jemaah Menteri secara keseluruhan memandangkan mereka adalah pemegang amanah negara buat jangkamasa lebih dari satu dekad akan datang.

“DNB juga perlu melampirkan pelan dan program usahawan bumiputera secara terperinci dan memastikan terdapat penyertaan syarikat bumiputera di dalam ekosistem ekonomi digital negara,” tegas beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit