Kajian Terperinci Dilakukan Sebelum Pembangunan Dilaksanakan – MB Pahang

TEMERLOH, 15 Jun – Kajian menyeluruh dan terperinci akan dilaksanakan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan berhubung Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Bentong dan Rancangan Khas Kawasan (RKK) Janda Baik, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata ini berikutan terdapat bantahan daripada penduduk setempat, dan kerajaan negeri ingin meneliti perkara itu sebelum membuat apa-apa ketetapan.

“Saya telah dapat bantahan daripada penduduk, jadi kita tangguh sekejap untuk kajian menyeluruh. Sebab bila ada bantahan, saya ingin tahu lebih mendalam…kalau kita nak ambil (tanah) mesti dapat persetujuan pemilik tanah.

“Kita bukan kerajaan yang zalim, tetapi dimanipulasikan oleh pihak tertentu… sebab itu kita ada siasatan awam. Sekiranya perkara ini merugikan orang ramai dan mendatangkan kesusahan, kita takkan buat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang 2022 Fasa 2 Kluster Veteran Tentera dan Bekas Polis Peringkat Pahang semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Dalam Negeri 1 Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Pengerusi Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Pahang Mohamed Lokman Mahmud dan Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Pahang Kapten (B) Abdul Latif Mohd Nor.

Wan Rosdy berkata demikian semasa dirujuk mengenai bantahan penduduk melibatkan pembangunan di kawasan berkenaan, dan sesi pendengaran draf yang sepatutnya berlangsung hari ini, namun ditangguhkan.

Mengulas lanjut, beliau berkata keputusan muktamad akan dibuat selepas semua pihak berpuas hati dengan perbincangan akan dilakukan dari masa ke masa.

“Pihak tertentu menceritakan seolah-olah ini keputusan muktamad, saya harap rakyat jangan keliru sebab kita kerajaan yang bertanggungjawab, boleh tengok rekod kita.. mana ada kita rampas tanah orang dan sebagainya,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan lebih 50 penduduk membantah pelaksanaan RKK yang melibatkan 2,985 hektar tanah merangkumi enam buah kampung, selain membantah RTD Bentong.

Sementara itu merujuk kepada program hari ini, Wan Rosdy berkata 8,000 veteran ATM dan 1,500 pesara polis menerima bantuan sekali bayar sebanyak RM200. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.