Tuduhan Berat Sanusi Terhadap Integriti, Institusi Kehakiman Negara – Shahril Hamdan

KUALA LUMPUR, 12 Jun – Apabila sahaja Pilihan Raya Umum (PRU) berlangsung dan jika Barisan Nasional (BN) menang, apa yang cuba Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mahu katakan?

Demikian soal Ketua Penerangan UMNO Malaysia Shahril Hamdan di dalam satu hantaran di Facebooknya.

“Bahawa disebabkan BN menang, tiba-tiba hakim akan dipaksa tukar fikiran?

“Kalau itu tuduhannya, sebut sahaja tanpa berselindung kerana itu tuduhan amat berat bukan kepada DS Zahid (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) tetapi terhadap integriti hakim dan institusi kehakiman negara.

“Sekarang pun, Perdana Menteri dari UMNO. Berdasarkan keputusan MKT (Majlis Kerja Tertinggi) UMNO, kalau BN menang, Perdana Menteri sama. Kes masih berjalan. Jadi apa kena mengena PRU awal dengan soal kes mahkamah?,” tanyanya lagi.

Tambahan lagi kata Shahril, tiada jaminan BN akan menang PRU.

“Suara yang menantikan PRU dan mandat baru ada di kalangan ahli parti dan rakyat. Mereka tiada kes mahkamah,” jelasnya.

Baru-baru ini Sanusi mendakwa Ahmad Zahid yang kini berdepan perbicaraan kes di mahkamah bertegas mahu mengadakan PRU lebih awal kerana takut dipenjarakan.

Ulas Shahril juga, Ahmad Zahid Hamidi tidak mendesak diadakan segera PRU tetapi hanya meminta supaya tidak terlalu lewat atas pertimbangan strategik untuk parti dan untuk negara.

“Sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN, beliau hendak parti menang dan hendak Malaysia mendapat manfaat dari keadaan politik yang lebih stabil tanpa persoalan PRU membayangi.

“Apapun, soal ini akan dibincangkan oleh ‘top five’ parti. Parti lain tak perlu masuk campur tentang perbincangan dalaman UMNO,” tegasnya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit