Permukiman Penerangan UMNO Bantu Parti Jayakan Kesiapsiagaan Berdepan PRU – Shahril

BENTONG, 4 Jun – Permukiman Penerangan UMNO Malaysia selama tiga hari dua malam di Kampung Janda Baik adalah salah satu langkah untuk mempersiapkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata secara tidak langsung ianya adalah bagi menjayakan soal kesiapsiagaan yang selalu dilontarkan terhadap parti berkenaan yang boleh dikatakan menjadi salah satu prasyarat untuk PRU nanti.

“Kita datang dengan satu matlamat merencana kesiapsiagaan menuju medan perang… soal ini sering dilontarkan dah ‘ready’ atau belum… dan kesediaan menjadi syarat PRU maka sudah pasti kami tidak mahu duduk sahaja tetapi mahu menyumbang ke arah persediaan itu.

“Siapa nak masuk medan perang tanpa cukup persediaan… asyik lontarkan persoalan berkenaan dan apakah sumbangan kita… sebab itu dianjurkan permukiman pada hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Permukiman Penerangan UMNO Malaysia, semalam. Program tersebut dirasmikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Permukiman selama tiga hari dua malam di Pusat Latihan Memperkasa Ummah (ILMU) melibatkan Ketua Penerangan peringkat negeri serta bahagian.

Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO seterusnya berkata permukiman tersebut adalah sesi berkongsi pandangan dan pelbagai perkara lain dan ianya tidak akan terhenti di situ sahaja.

“Barisan hadapan penerangan insya-Allah kita akan penuhkan slot yang ada dengan pengisian serta perkongsian ilmu serta pengetahuan untuk dibawa balik ke kawasan masing masing… kita sama-sama ulangkaji yang tentunya akan memperkukuhkan gerak kerja kelak,” tambahnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit