Solidariti Biru, Bekalan Perang Menuju PRU-15

Kesetiaan dan Kestabilan
Konvensyen BN serta Sambutan Hari Ulang Tahun BN ke 48 yang berakhir kelmarin pasti meninggalkan kesan kepada penyokong BN, parti lawan dan rakyat. Semua pemimpin utama parti komponen BN semasa ucapan menyatakan kagum dengan semangat peserta yang hadir. Melihat kepada ramai dan riak wajah sememangnya ianya berasas. Natijahnya BN telah berjaya meniupkan suatu situasi dikala negara sedang berhadapan dengan pelbagai ketidaktentuan dan bebanan kos sara hidup rakyat.

Ketidakstabilan telah meragut banyak nikmat dan kejayaan yang sepatutnya dapat dicapai.
Jelas kejayaan Malaysia selama ini adalah kerana kestabilan yang wujud pada politik negara. Teras kepada kestabilan politik adalah kerana keutuhan BN. Namun keutuhan itu diuji dengan ketidaksetiaan. Daripada 13 komponen sebelum PRU 14 telah menjadi 4 selepas itu, jelas kesetiaan teruji. Begitu juga jiwa sesetengah pemimpin yang mudah disandarkan dengan jawatan dan nilai wang kebendaan sehingga sanggup membuang setia pada kamus diri. Apa jua hujah alasan yang diberikan jelas setia itu telah dibuang dan memang sesuai digelarkan dengan ‘katak politik’.

Kadang sedikit tak bererti lemah, banyak tak bererti kuat. Asalnya BN sebelum ini tertubuh lanjutan daripada Parti Perikatan yang mengabung tiga parti iaitu UMNO, MCA dan MIC ketika itu hasil usaha tokoh pemimpin parti masing masing iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun VT Sambatan. Bukan mudah untuk menyatukan tapi dengan kematangan dan berpandangan jauh pasti segala perbezaan dapat digembleng bersama bagi mencipta keharmonian dan kelebihan. Kelebihan yang ada itu dijadikan asas dan modal untuk membangun Malaysia sehingga sekarang ini.

Segalanya dirobek pada PRU 14 dan diakui banyak kelemahan sendiri. Baton BN ditinggalkan di balapan tanpa mampu disambut oleh pemimpin seterusnya bagi meneruskan tradisi kepimpinan negara. Sudah tentu banyak hikmah yang didapati dan diinsafi. Hari hari sukar dihadapi dengan ramai yang sangsi, ramai yang keliru, ramai yang terburu buru tak kurang juga yang segera beralih arah tanpa mengenang, menginsafi dan bertanya diri tentang setia.

Walau pelbagai faktor yang dikupas namun adalah lebih baik kita membicarakan dan melihat kepada kesetiaan. Kita mengakui kestabilan itu penting namun kestabilan itu terpupuk daripada pemahaman dan rasional kepentingan kesetiaan.

Kelmarin para pejuang yang setia hadir. Hadir dengan semangat dan membawa pulang diri dengan semangat. Mereka setia pada perjuangan, rata rata mereka hadir dan berkampung di rumah agam BN UMNO iaitu WTC tersebut bagi membina semula semangat yang dirobek sejak kekalahan pada PRU 14. Jelas atas kesetiaan, semangat itu telah digarap kembali dan bergabung membentuk solidariti biru yang padu ianya diakui oleh pemimpin pemimpin komponen ketika memberi ucapan. Perhimpunan kelmarin sememangnya luar biasa dan masing masing yakin dengan semangat jentera yang ada kini boleh membawa kejayaan.

Semangat mereka satu semangat mereka jitu, semangat mereka telah diperbaharu dan sedar betapa pentingnya solidariti biru. Semangat ini diyakini lebih bermakna dan lebih ampuh berbanding sebelum ini.

Negara Perlu Diletakkan Di Landasan Sepatutnya & BN Harapan Rakyat

Kekalahan BN pada PRU 14 bukan semata atas pilihan rakyat, sekali lagi ianya disebabkan oleh ketidaksetiaan pemimpin. BN gagal mendapat majoriti mudah namun jika semua pemimpin setia, tidak mudah kerajaan PH 22 bulan terbentuk. Mungkin yang wujud adalah kerajaan campuran. Rakyat ketika itu sememangnya berkehendakkan perubahan dan jelas pilihan rakyat, ramai yang tidak setia sebagai pengundi BN lagi. Rakyat tidak boleh dipersalahkan atas pilihan bukan kepada BN. PH ketika itu berjaya menambat hati pengundi dengan pelbagai strategi, helah serta memanfaatkan sebaiknya media sosial yang ada. Walau BN keseluruhan harus dipersalahkan baik kepimpinan dan bawahan, namun salah menyalah tidak akan mengubah keadaan sebaliknya insaf serta berusaha perbaiki kelemahan yang ada sahaja mampu merubah keadaan pada masa hadapan.

Timbalan Pengerusi BN YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Hasan kelmarin telah mengingatkan seluruh keluarga BN agar tidak melakukan kesilapan yang sama sebaliknya terus agresif menangkis dakyah dan manipulasi lawan tanpa perlu tunggu ketika peperangan dan ianya perlu berterusan.

Sudah tentu rakyat mahukan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang sedang dinikmati ketika PRU 14. Namun perubahan baik yang diidam, perubahan diadun dendam pula yang dilaksanakan. Banyak perancangan kerajaan BN sebelumnya diketepikan, aset aset dijual kononnya untuk menyelesaikan hutang yang akhirnya pelbagai kerosakan berlaku sehingga Perdana Menteri yang mengepalai kelompok PH itu dengan sendirinya mengundur diri.

Perdana Menteri yang menggantikan pun asalnya daripada kelompok PH yang juga tidak bertahan lama kerana ahli ahli parlimen yang membentuk kerajaan bukanlah mereka yang menjadikan setia sebagai pegangan. Bila tidak setia tiadalah kejujuran. Berkuasa dan menggunakan kuasa tanpa jujur menyebabkan apa cara boleh dilakukan asal kekal berkuasa termasuk menggantung perlembagaan. Kesan parahnya berganda kerana ketika itu Pandemik Covid 19 melanda negara.

Walau kelompok dua perdana menteri masih mahu berkuasa mereka akui dan sedar perlunya kerjasama dengan pemimpin pemimpin BN kerana yakin dengan kemampuan untuk mentadbir berdasarkan rekod dan kelayakan pemimpin itu sendiri. Hasilnya kerajaan semasa yang wujud lebih stabil dan baik berbanding sebelumnya namun tidak mampu meletakkan Malaysia di landasan yang sepatutnya, jelas ianya sukar. Bagaimana ingin membuat dua perkara di dalam satu masa iaitu membaiki dan mengemudi ianya ditambah lagi BN hanya menguasai 34% daripada kerajaan yang majoritinya masih beridealogi kerajaan yang merosak dan gagal.

Kesannya adalah kepada rakyat, kelompok kepimpinan itu sendiri sudah tentu memberikan kesan nyata keseluruhan. Majoriti rakyat sudah sedar, majoriti rakyat juga mahukan perubahan dan mesej itu telah diberikan pada PRK PRK dan PRN PRN yang berlaku. BN harus berubah dan melakukan penyesuaian selari dengan aspirasi rakyat dan persekitaran semasa. Seperti kata Bossku YB Dato’ Sri Najib Razak rakyat adalah “king”, jelas rakyat perlu dijadikan tumpuan. BN perlu menjadikan hanya BN pilihan mutlak untuk rakyat Malaysia.

Pengerusi BN Cekal Memimpin

YB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi sememangnya seorang pemimpin yang cukup cekal walau diasak, diugut dan diheret ke mahkamah pun beliau masih teguh berdiri memimpin BN ke landasan yang sepatutnya. Tuduhan kepada beliau yang kononnya beliau mahu menjadi Perdana Menteri atau pun menggunakan kedudukannya bagi mempengaruhi kerajaan menarik tuduhan terhadapnya ternyata meleset.

Keputusan sebulat suara Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini menamakan
Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob sebagai calon Perdana Menteri jika BN memenangi PRU 15 sememangnya disambut baik secara konsisten oleh komponen BN. Kelmarin Presiden MCA YB Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong menyatakan sokongan terhadap cadangan tersebut dan ianya mengukuhkan lagi solidariti BN dan memudahkan kerja keseluruhan keluarga BN.

Jelas bahawa YB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid bin Hamidi seorang pemimpin yang selayaknya dinobatkan sebagai hero kerana menjaga parti daripada kekalahan sehingga kukuh dan memimpin bukan untuk kepentingan diri. Gabungan serta hubungan akrab bersama pimpinan utama UMNO BN terutamanya Timbalan Pengerusi BN memantulkan banyak serangan lawan. Jika tekanan terhadap dirinya mahu dilepaskan beliau boleh menggunakan menteri menteri kabinet mahupun Perdana Menteri sendiri bagi melepaskan kes mahkamah yang beliau sedang hadapi tapi beliau memilih untuk melawan segala tuduhan berunsur politik dan terpilih itu di mahkamah. Lama kelamaan anasir tak baik yang menutup kebenaran pasti akan tersingkap. Setia, cekal serta sayangkan parti dan rakyat pasti tidak terbalas jasa beliau kepada parti.

Seluruh keluarga BN harus mengambil iktibar kekalahan BN tempoh hari dan serangan yang berlaku masih bermodus operandi yang sama. Pemimpin nombor satu diserang dan dijatuhkan dahulu untuk meranapkan parti.

Tonik Buat Pahlawan Perang BN

Konvensyen BN yang berlangsung pasti suatu konvensyen atau perkumpulan besar membabitkan pimpinan serta penyokong BN terakhir sebelum berlakunya Pilihanraya Umum ke 15. Peserta hadir dengan semangat dan membawa bekalan berperang yang cukup lengkap diberikan oleh para pemimpin ketika berucap. Dimulai dengan Timbalan Pengerusi BN yang memberikan lima perkara penting iaitu idea, kesepakatan, politik bermoral, “intergenerational” iaitu terangkum dan berstrategi bukan imaginasi berdasarkan maklumat. Bossku YB Dato’ Sri Najib Razak pula seolah mengadakan kelas ulangkaji kepada seluruh peserta tentang apa yang telah dibuat oleh PH dan PN. Kemudian disusuli sebelah petang ucapan daripada semua presiden presiden parti komponen yang konsisten dan dengan komitmen menyeru kepada suatu permuafakatan biru.

Semuanya telah sempurna dilengkapkan dan riak pahlawan seolah sudah bersedia untuk diarahkan ke medan pada bila bila masa. Selain itu pengukuhan hubungan dengan parti politik di Sarawak dilihat melalui peserta forum yang diadakan. Parti yang memeritah Sarawak adalah rakan strategik BN dan hubungan yang telah termeterai lama itu sememangnya akrab. Dua sesi forum yang diadakan menggadun pelbagai latar panelis mewakili pelbagai kaum, parti komponen termasuk Sabah dan Sarawak itu patut diberikan pujian.

Ikrar daripada enam parti Friends of BN untuk bersama membantu dan memastikan kemenangan BN pada PRU 15 menambah keutuhan sedia ada.

Enam pemimpin parti Friends of BN, Barisan Kemajuan India SeMalaysia, Kongres India Muslim Malaysia,
Parti Makkal Sakti Malaysia, Parti Bersatu India Malaysia, Parti Cinta Malaysia dan Parti Punjabi Malaysia.

Kehadiran duta duta dari pelbagai negara pada majlis sambutan itu menampakkan keyakinan mereka kepada usaha BN mengukuhkan parti serta negara. Pengukuhan itu penting demi manfaat global bersama.

Pahlawan BN telah bersedia, mereka telah dilengkapkan dengan segalanya. Latihan juga telah dilalui hanya menunggu detik masa pada bila bila masa sahaja. Begitu juga tentang calon. Calon menjadi produk yang hendak ditawarkan kepada pengundi. Untuk memastikan produk produk itu diterima pasti pucuk pimpinan telah belajar daripada apa yang telah dilalui. Tidak dinafi kesilapan meletakkan calon boleh menimbulkan masalah kepada parti. Baik dari segi dalaman mahupun menarik pengundi namun diyakini pimpinan mampu menguruskannya. PRK PRK dan PRN PRN yang telah dilalui pasti telah mematangkan permuafakatan dan diri.

Bila PRU 15?

Bila PRU 15 seolah sudah menjadi suatu teka teki. Polemik PRU 15 ni sedar tak sedar sebenarnya telah didendang sejak dua tahun lalu. Polemik PRU ini timbul kerana ianya adalah solusi pilihan terbaik kepada permasalahan yang dihadapi negara. Pilihan perundingan dan permuafakatan ahli ahli politik yang pelbagai latar idealogi serta matlamat hanya menangguh penyelesaian sebenar kepada masalah. Ternyata yang rugi adalah keseluruhan negara, sengsaranya adalah kepada rakyat.

Petunjuk petunjuk telah diberikan, komitmen juga telah dinyatakan oleh YAB Perdana Menteri selaku individu yang akan mengusulkan tarikh yang sesuai kepada DYMM SPB YDP Agong. Mandat juga telah diperolehi daripada pimpinan tertinggi parti, kebijaksanan PM diyakini. Yang nyata jika tempoh penggal diambil kira ianya tidak sampai setahun namun jika “mood” semasa diambil kira ianya perlu dalam sehari dua. Pokoknya ianya tidak boleh dibolak balik lagi kerana PRU 15 adalah satu satunya solusi terhadap permasalahan yang berlaku kini. Ianya perlu segera kerana melanjutkan tempoh kuasa juga bermakna melanjutkan derita yang ditanggung rakyat. Situasi dunia sangat dinamik dan mendesak wujudnya sebuah kerajaan yang kukuh dan mampu berhadapan dengan pelbagai ketidaktentuan pasti prasyaratnya adalah kestabilan.

Kita Pilih Biru!
Kita Pilih Dacing!
Kita Pilih Barisan Nasional!

NORMAN SAPAR
Johor Bahru


********************************************************

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.