Jangan Dengar Cerita Luar Cuba Retakkan Dalaman UMNO, Fokus PRU15 – Armand Azha

KUALA LUMPUR, 26 Mei – UMNO dan Barisan Nasional (BN) Selangor konsisten apa saja pendapat, pandangan serta keputusan yang akan dibuat di peringkat tertinggi, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah.

Jelasnya, dalam keadaan lanskap politik hari ini yang unik, dinamik dan progresif seharusnya kepimpinan UMNO negeri Selangor mengambil pandangan dari semua sudut.

“Saya harap kepada barisan kepimpinan dan penyokong-penyokong parti jangan ‘jump the ship’ dengan cerita-cerita di luar dan menciptakan keretakan dalam negeri Selangor.

“UMNO Selangor secara konsisten meletakkan negeri Selangor jauh ke hadapan, memikirkan strategi serta rancangan untuk kembali mentadbir dan merampas kerajaan negeri Selangor di bawah Pakatan Harapan (PH).

“Semua penyokong dan pendukung sabar dan bertenang, serahkan kepada barisan kepimpinan peringkat negeri dan Pusat untuk merancang strategi dan memikir dengan cara terbaik,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang yakin dengan kepimpinan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri (BPUN) Selangor, Tan Sri Noh Omar yang sentiasa memikirkan perkara yang terbaik bagi UMNO.

“Beri keyakinan kepada Tan Sri Noh Omar untuk merancang strategi ke arah PRU-15 dan sentiasa menyokong apa saja keputusan yang dibuat oleh beliau. Bertenang, setiap yang disusun itu ada penyebab.

“Jangan ada suara-suara sumbang yang cuba mencipta keretakan. Paling penting rapatkan saf, barisan dan perkukuhkan jentera parti di negeri Selangor,” ujarnya.


Dalam pada itu beliau menegaskan hubungan baik UMNO dan Pas di Selangor masih diteruskan.

“Muafakat Negeri Selangor sehingga hari ini secara konsisten masih ada lagi kerjasama dengan Pas Selangor kerana hubungan baik kepimpinan UMNO dan Pas masih lagi diteruskan.

“Ini menunjukkan satu komitmen yang tinggi oleh kepimpinan tertinggi parti UMNO Selangor dan tidak pernah lagi menyanggah keputusan di peringkat Pusat,” tegasnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit