Sambutan Himpunan Mesra Aidilfitri Anak Kelantan Perantauan Meriah, Erat Perpaduan

KUALA LUMPUR, 21 Mei – Suasana Dewan Tun Razak 4 di Dagangan Dunia Putra (WTC) meriah dengan kehadiran orang ramai terdiri daripada pelbagai kaum dan agama yang membanjiri Himpunan Mesra Aidilfitri 1443H Bersama Anak Kelantan Di Perantauan.

Kedatangan pengunjung dilihat seawal jam 5 petang masuk ke perkarangan dewan bagi menikmati pelbagai juadah raya termasuk makanan tradisi negeri berkenaan.

Antara juadah yang dihidangkan adalah lemang, ketupat, rendang ayam dan daging, nasi dagang, rojak, kuih-muih tradisional Kelantan dan banyak lagi.

Dianjurkan Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan yang diketuai pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub majlis tersebut juga menyaksikan kehadiran kepimpinan negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad.

Turut hadir kepimpinan UMNO iaitu Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Pergerakan Puteri Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan.

Orang ramai juga turut mengambil kesempatan bertemu dan bergambar bersama kepimpinan yang hadir.

Majlis yang berlangsung sehingga jam 11 malam itu juga turut dimeriahkan dengan nyanyian oleh selebriti tempatan Khadijah Ibrahim, Sheeda dan Zul 2by2.

Sementara itu, pengunjung yang ditemui ternyata gembira dengan kemeriahan majlis itu yang diadakan selepas dua tahun berdepan kekangan sambutan raya kerana pandemik COVID-19.

Difahamkan sehingga jam 9 malam tadi, penganjur memaklumkan anggaran 15,000 orang pengunjung yang hadir pada masjlis berkenaan. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.