Ada Berita Baik Untuk Veteran ATM – Hishammudidin
PUTRAJAYA, 21 Mei – Ada berita baik akan diumumkan dalam masa terdekat bagi menghargai perjuangan dan pengorbanan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) antaranya mengenai tribunal pengampunan bekas tentera dan menambah baik perkara berkaitan pencen terbitan untuk balu tentera.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata keperluan veteran ATM yang menyentuh kepada kebajikan dan pembelaan nasib mereka akan diteruskan dan usahanya memimpin Kementerian Pertahanan sembilan bulan lepas akan membawa lebih banyak berita gembira.
“Namun, ia perlu menunggu masa yang sesuai untuk diumumkan kerana ia melibatkan kementerian dan jabatan lain serta perkara bersandarkan kepada peruntukan yang kini sedang dalam perbincangan.
Saya beri jaminan mana-mana yang dapat diselesaikan, kita akan umum dalam masa terdekat. Dua perkara yang saya sebut itu dah sampai ke tahap saya, boleh umum dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan upacara perbarisan veteran ATM sempena Sambutan Ulang Tahun Persatuan Veteran ATM ke-100, di Dataran Pahlawan Negara, di sini, hari ini.
Hishammuddin berkata veteran ATM boleh menyuarakan keinginan mereka tetapi perlu juga memahami kedudukan kehendak mereka dengan cabaran keadaan semasa.
“Antaranya memerlukan perancangan kewangan negara yang cukup teliti terutamanya ketika negara masih dalam usaha untuk pulih semula daripada kesan pandemik selama lebih dua tahun ini.
Isu yang dibangkitkan veteran, datang dan pergi mengikut zaman tetapi kewujudan veteran serta maruah tersebut mesti dipertahankan dan untuk mempertahankan kedudukan persatuan dan perjuangan itu bukan bersandarkan kepada wang ringgit tetapi kepada pegangan nilai perjuangan yang sinonim dengan bekas anggota ATM,” katanya.
Hishammuddin juga memberi jaminan akan meneruskan apa yang dirancang ketika beliau memegang portfolio Menteri Pertahanan pada 2013 hingga 2018 dan kerajaan selama ini prihatin dan proaktif dalam memenuhi tuntutan veteran ATM.
Sementara itu, Hishammuddin berkata inisiatif peluang kerjaya kedua bagi veteran ATM itu berterusan ke peringkat akar umbi.
“Sebagai contoh, kedai di persekitaran 3,500 unit rumah Program Satu Rumah Satu Anggota diberi keutamaan kepada veteran untuk memulakan perniagaan dan projek Kapal Tempur Pesisir di Lumut yang diteruskan melibatkan vendor veteran ATM,” katanya.
Mengulas mengenai cadangan pembinaan hospital khusus untuk veteran ATM yang diumumkan beliau pada tahun 2018, Hishammuddin menjelaskan ketika itu banyak perkara yang dicadangkan namun isu itu perlu dikaji semula untuk melihat sama ada ia sesuatu yang realistik untuk dilaksanakan dalam masa terdekat.
Hishammuddin sebelum ini menjadi Menteri Pertahanan pada 2013 hingga 2018 dan dilantik sebagai Menteri Luar pada 2020. Beliau kembali menjadi Menteri Pertahanan pada Ogos 2021 di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Turut hadir majlis itu, Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang dan Presiden Persatuan Veteran ATM Datuk Sharuddin Omar.- BERNAMA