UMNO Junjung Kasih Perkenan Sultan Perak, Pastikan Institusi Raja Melayu, Islam Tidak Diheret Kontroversi
KUALA LUMPUR, 18 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjunjung kasih kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang penuh hikmah dan bijaksana menerima pengunduran diri Datuk Dr. Afifi Al-Akiti daripada jawatan Orang Kaya-kaya Imam Paduka Tuan sebagai Orang Besar Delapan Perak dan Ahli Dewan Negara Perak, ekoran tularnya rakaman kontroversi yang membabitkan Dr. Afifi.
Ujar Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), perkenan Tuanku menerima pengunduran diri Dr. Afifi tersebut, bagi memastikan Institusi Raja Melayu Perak dan Institusi Islam tidak diheret sama dalam kontroversi yang membabitkan tokoh berkenaan.
“Tambahan pula, jawatan yang disandang memberikan natijah langsung kepada Ke Bawah Duli Tuanku yang sentiasa memuliakan soal adab dan susila.
“Saya berharap perkenan Ke Bawah Duli Tuanku ini akan menghentikan sebarang cubaan untuk memalitkan Institusi Beraja atas ketelanjuran pihak yang sepatutnya memelihara nama baik dan kemuliaan Islam dan Raja.
“Bagi pihak UMNO, parti yang meletakkan Islam dan Raja sebagai Institusi yang perlu dibentengi, saya yakin perkenan Ke Bawah Duli Tuanku itu adalah bukti caknannya Ke Bawah Duli Tuankuakan perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti hidup rakyat beraja dan beragama di negara ini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Terdahulu, Sultan Nazrin berkenan menerima permohonan meletak jawatan Dr Afifi yang menyandang gelaran Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan dan Ahli Rasmi Dewan Negara Perak.
Dilaporkan, Dr Afifi memohon meletak jawatan berikutan sejak dua minggu berlaku penularan bahan-bahan tertentu dalam media sosial bertujuan mencemar nama beliau. – UMNO Online
[gview file=”https://umno-online.my/wp-content/uploads/2022/05/KENYATAAN-MEDIA-18-Mei-2022.pdf”]