Ucapan Presiden UMNO Malaysia Pada Persidangan Agung Khas UMNO

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Yang Berbahagia, Tan Sri Pengerusi Tetap
YB Dato Seri Utama Timbalan Presiden UMNO
Yang Amat Berhormat/ Yang Berhormat/ Yang Berbahagia Naib-Naib Presiden
Yang Berhormat Ketua Wanita UMNO Malaysia
Yang Berbahagia Ketua Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Malaysia
Ahli-Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia
Para Perwakilan yang berada dalam Dewan ini.

Perhimpunan Agung Khas UMNO
KUALA LUMPUR, 15 MEI — Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberikan Ucapan Perasmian Perhimpunan Agung Khas UMNO di Dewan Merdeka WTCKL sebentar tadi.

Sidang perwakilan yang saya hormati sekalian
1. Alhamdulillah, segala pujian bagi Allah, yang atas ketentuan-Nya jua, kita berkumpul pada hari ini di Perhimpunan Agung Khas UMNO 2022. Empat hari lalu pada 11 Mei, kita menyambut tarikh keramat penubuhan UMNO, yang menjadi lambang penyatuan umat Melayu lebih tujuh dekad lamanya. Pada masa yang sama, kita berhimpun petang ini masih lagi dalam semangat menyambut kemenangan di bulan Syawwal.
Selamat menyambut ulang tahun UMNO ke-76 dan tidak terlewat untuk saya ucapkan Eid Mubarak, minal a’idiin wal fa iziin kepada seluruh sidang perwakilan sekalian.

Sidang perwakilan sekalian
2. Kita berhimpun pada petang ini dengan satu tujuan, untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli parti, melalui Perhimpunan Agung Khas bagi maksud meminda Perlembagaan UMNO, berhubung dengan fasal-fasal tempoh pemilihan parti.

3. Terima kasih saya rakamkan kepada seluruh perwakilan atas kehadiran pada hari ini, walaupun dua bulan yang lalu kita sudah sama-sama berada di sini. Semangat yang ditunjukkan oleh para perwakilan sekalian, memberikan isyarat yang jelas bahawa sebagai orang perjuangan, kita ahli-ahli UMNO berada dalam satu bahtera yang tidak mungkin dapat digoyah kesatuannya.
Sidang Perwakilan yang saya hormati sekalian

4. Seawal penubuhan pada tahun 1946, UMNO menjadi penyatu kepada seluruh perkumpulan Melayu. Gerakan massa umat Melayu ketika itu bermatlamatkan untuk membebaskan negara daripada cengkaman penjajah.

5. Laluan menuju kemerdekaan yang diawali dengan beberapa siri Pilihan Raya Majlis Perbandaran bagi George Town, Kuala Lumpur, Johor Baharu, Ipoh, Alor Setar, Melaka dan Seremban; seterusnya Pilihan Raya Persekutuan yang pertama pada 27 Julai 1955.

6. UMNO meletakkan asas kerjasama dengan kaum lain, melalui Parti Perikatan yang diasaskan pada tahun 1952. Ia menjadi wadah kerjasama politik, yang tidak pernah dirintis oleh mana-mana pihak sebelum itu. Pada Pilihan Raya Persekutuan yang pertama, Parti Perikatan telah memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan.

7. Model kerjasama politik yang ditunjangi UMNO melalui Parti Perikatan, tidak terhenti setakat itu. Selepas Pilihan Raya Umum 1969, yang membawa kepada peristiwa hitam 13 Mei, UMNO membuat anjakan politik yang besar, dengan menubuhkan Barisan Nasional, menggantikan Parti Perikatan. Pembentukan Barisan Nasional pada tahun 1974, lebih bersifat inklusif dengan melibatkan lebih banyak parti-parti politik. Langkah ini telah menjadi trendsetter landskap politik negara ketika itu.

8. Saya mengimbas kembali liku politik yang dilalui oleh UMNO ini, kerana ia membuktikan sejak ditubuhkan, UMNO telah melalui fasa-fasa perubahan, sesuai dengan kedinamikan politik pada sesuatu masa.

9. Begitulah fleksibelnya sifat politik UMNO, yang sentiasa melakukan perubahan, sesuai dengan kehendak politik semasa. Malah, kesediaan melakukan perubahan, menjadikan UMNO terus kekal relevan dalam iklim politik sepanjang zaman. UMNO pernah melalui zaman pendakian, berada di kemuncak, dan zaman kejatuhan. Kesemua era tersebut dilalui dengan pelbagai perubahan, dan pendekatan.

10. Memasuki usia 76 tahun, liku perjuangan dan perjalanan politik yang panjang, semakin mematangkan UMNO. Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan, UMNO tidak pernah melupakan asas perjuangannya.

Saudara saudari sidang perwakilan
11. 24 tahun mendatang, In Sya-Allah UMNO akan mencapai usia satu abad, iaitu 100 tahun lamanya. Dengan berbaki tempoh Jubli Perak sebelum mencapai usia 100 tahun, kita harus mempersiapkan UMNO untuk berhadapan dengan rencam politik, dan mewariskannya bagi diteruskan perjuangannya oleh generasi pelapis.
Saudara saudari sidang perwakilan

12. Dalam tempoh dua dekad mendatang, UMNO mahu melihat agenda-agenda Melayu dan Bumiputera terus diperkasakan. Ini termasuk memperkukuhkan agensi-agensi amanah Bumiputera.

13. PNB, Tabung Haji, Felda, MARA dan Institusi pegangan ekuiti Bumiputera wajib menjadi agenda utama kerajaan tanpa tunduk dengan tekanan untuk agenda berkenaan dikesampingkan.

14. Seperti yang telah diutarakan dalam Debat Perdana antara dua tokoh politik empat hari yang lalu, Syarikat yang pegangan ekuitinya disertai oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) seperti Sapura Energy di mana terdapat lebih 10 juta pegangan saham amanah, Amanah Saham Nasional (ASN) turut mempunyai kepentingan mesti bantu.

15. Sebanyak lebih RM5 billion telah dilaburkan oleh PNB. Syarikat itu menggaji lebih sepuluh ribu tenaga kerja dan lebih tiga ribu vendor terlibat. Tanpa menggunakan dana langsung kerajaan, PETRONAS sesuai untuk mengambil alih dan melakukann ‘turn-around’ sesegera mungkin.

16. Namun, kita bersetuju supaya pengauditan forensik wajib turut dilakukan agar ianya lebih telus.

17. Pendekatan parti dalam memberi ruang kepada muka-muka baharu pada dua Pilihan Raya Negeri, adalah antara bukti UMNO tidak ketandusan pemimpin. Ia juga memperlihatkan kesiap-siagaan UMNO, untuk memastikan obor perjuangan parti, terus semarak menyongsong usia 100 tahun.

18. Inilah kedinamikan politik UMNO. Kita sentiasa bersedia membuat anjakan, agar sesuai dengan tuntutan semasa. Kini, jumlah pengundi muda berusia bawah 40 tahun, melebihi 12 juta orang atau mewakili 58 peratus daripada jumlah keseluruhan 21 juta pengundi. Apakah UMNO tidak cakna akan perkara ini? Apakah kita yang telah bertapak, dan menjadi wakil rakyat sejak lima, enam, tujuh atau lapan penggal, masih merasakan ini zaman kita lagi?

19. Justeru, beberapa pendekatan termasuk pindaan Perlembagaan yang dicadangkan kali ini, dapat memberi ruang kepada parti, untuk mengorak langkah dan menyusun strategi, yang berkesan bagi menghadapi pilihan raya-pilihan raya umum akan datang, tanpa kita bergelut dengan masalah dalaman. Ini adalah amanah dan tanggungjawab kita kepada kelangsungan parti. Ia juga menuntut kita semua untuk berlapang dada dan berjiwa besar, bagi memastikan UMNO terus mekar menuju ke satu abad perjuangannya.

Sidang Perwakilan sekalian
20. Rakyat semakin tidak selesa dengan percaturan mereka yang sering mencari suaka politik untuk kepentingan diri dan kedudukan. Pada PRU yang lalu, UMNO dan Barisan Nasional (BN) berlapang dada menerima kekalahan dan mengakui hakikat keputusan rakyat tanpa sebarang kekacauan.

21. Suka saya tegaskan, UMNO tidak mempunyai DNA atau baka untuk mencetuskan kekacauan, yang boleh menjerumuskan negara kepada keadaan tidak menentu. UMNO punya catatan membangunkan negara. UMNO bersejarahkan kemakmuran dan kestabilan. UMNO berwajahkan keharmonian dan kesejahteraan. Justeru, soal kestabilan, keharmonian, kemakmuran serta kesejahteraan, adalah agenda yang tidak pernah luput, daripada kamus perjuangan UMNO.

22. Jadikanlah Pilihan Raya Umum ke-14, sebagai sempadan dan pengajaran buat negara. Pakatan politik yang baharu muncul ketika itu, hanya indah khabar daripada rupa. Pepat di luar, rencong di dalam, kokok berdegar-degar ekor bergelumang najis. Rakyat ditipu hidup-hidup!

Sidang perwakilan sekalian
23. Pindaan Perlembagaan yang akan dibentangkan untuk sama-sama kita absahkan pada petang ini, membawa erti yang cukup besar. Mesejnya amat jelas iaitu, kita mahukan KESTABILAN.
Kestabilan UMNO untuk menghadapi PRU ke-15;
Kestabilan UMNO untuk mengembalikan maruah perjuangan; dan
Kestabilan UMNO untuk mempersiapkan pewaris kesinambungan sebuah perjuangan.

24. Apa maknanya agenda kestabilan yang kita tawarkan kepada rakyat, seandainya dalaman parti kita sendiri tidak tenteram. Parti berpecah, wujudnya puak dan kelompok, yang pada akhirnya merugikan kita semua.

25. Ingatlah, kita tidak sanggup melihat UMNO menjadi kucar kacir. Ingatlah, kita tidak sanggup melihat parti berpecah belah. Ingatlah, selepas biduk berlalu, kiambang belum tentu bertaut kembali. Perpecahan hanya akan merugikan UMNO.

26. Dalam Pilihan Raya Umum Negeri Melaka dan Johor, kita menawarkan KESTABILAN sebagai jaminan, untuk kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat.

27. Kestabilan amat penting untuk kita pertahankan. Sejarah UMNO, telah memperlihatkan bagaimana Perlembagaan dan Peraturan UMNO, sentiasa melalui proses pindaan. Ia dilakukan agar sesuai dengan keadaan semasa, di samping untuk membendung masalah dalaman, yang boleh menjejaskan kedudukan parti secara keseluruhannya. Sejak tahun 1990 sehingga kini, sebanyak tiga kali pindaan Perlembagaan telah dilaksanakan, berkait dengan soal pemilihan.

28. Selepas berlakunya “pertembungan maha” pada tahun 1987, Presiden UMNO ketika itu telah mencadangkan, supaya parti memperkenalkan sistem 10 undi bonus, bagi setiap pencalonan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden. Akhirnya parti telah meminda Perlembagaan, memasukkan sistem 10 undi bonus sebagai salah satu kaedah dalam pemilihan.

29. Selepas pemilihan tahun 1993, sistem 10 undi bonus bagi setiap pencalonan masih tidak dapat menjamin wujudnya ‘ketenangan’ politik. Pada tahun 1998, Perlembagaan dipinda lagi, dengan memperkenalkan sistem kuota pencalonan bagi jawatan-jawatan tertinggi parti.

30. Namun, atas keperluan semasa dan menilai perubahan corak politik negara, pada tahun 2009 Perlembagaan parti telah dipinda dengan membuka ruang pemilihan lebih luas.

31. Dengan pindaan tersebut, kuasa memilih tidak lagi terletak di tangan 2,510 orang perwakilan sewaktu Perhimpunan Agung UMNO, tetapi diperluaskan ke peringkat perwakilan Bahagian, melibatkan seramai 146,500 orang. Langkah ini telah meletakkan UMNO lebih ke hadapan, dalam meraikan amalan demokrasi berbanding parti politik lain termasuk yang berjenamakan demokratik.

32. Tidak kurang juga dalam soal memastikan kestabilan, tanpa meminda perlembagaan, parti pernah membuat keputusan supaya jawatan utama iaitu Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

33. Namun, pada pemilihan Jun 2018, setelah 30 tahun kerusi Presiden tidak dipertandingkan sejak 1988, saya sendiri, yang ketika itu menjalankan tugas-tugas Presiden, telah mencadangkan agar semua jawatan parti termasuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan. Cadangan tersebut dipersetujui oleh Majlis Kerja Tertinggi.

34. Inilah fasa-fasa yang berlaku di dalam UMNO yang mematangkan kita dan memantapkan parti untuk terus relevan di persada politik tanah air.

Sidang Perwakilan sekalian

35. Saya mendengar adanya suara-suara di kalangan kita, kononnya pindaan ini untuk menyelamatkan kedudukan Zahid Hamidi sebagai Presiden. Suka saya tegaskan, ia tidak benar.

36. Dangkallah jika ada di kalangan kita, termasuk saf kepimpinan tertinggi parti, berpandangan dan berfikiran sempit sedemikian. Jangan kita buat-buat lupa, gesaan agar pemilihan parti diadakan selepas pilihan raya umum adalah usul daripada majoriti Bahagian-Bahagian yang telah mengadakan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian masing-masing. Keputusan di peringkat akar umbi, dan seterusnya diangkat ke Perhimpunan Agung dua bulan lalu telah pun dipersetujui dan diluluskan.

37. Pindaan ini adalah manifestasi suara akar umbi. Saya yakin saudara saudari sekalian hendak melihat parti kita kukuh dan berpadu. Adat memimpin, apa pun yang datang, bahtera perlu diselamatkan. Walau diri terkorban, namun bahtera jangan dibiarkan karam.

38. Saya ingin tegaskan, pindaan Perlembagaan kali ini akan memberi ruang kepada pasukan, atau team kepimpinan Pusat, Bahagian dan Cawangan, bagi setiap penggal pemilihan, untuk memfokuskan gerak kerja menghadapi pilihan raya-pilihan raya Umum.

39. Dengan mengabsahkan pindaan hari ini, saudara-saudari sekalian adalah pasukan yang akan membawa parti menghadapi PRU ke-15.
Inilah pasukan yang setelah jatuh bangkit dengan keazaman;
Inilah pasukan yang meskipun tewas PRU ke-14 tetapi kekal berpaksikan kesetiaan;
Inilah pasukan yang menggalas tanggungjawab parti dan mengharungi setiap cabaran;
Inilah pasukan yang tidak lari ketika bertempur di medan;
Inilah pasukan yang tidak tunduk kepada ugutan;
Inilah pasukan yang telah disiapsiagakan untuk menghadapi peperangan;
Inilah pasukan yang kekal istiqomah dalam perjuangan;
Inilah pasukan dalam siri pilihanraya kecil dan pilihanraya negeri yang telah menjana kemenangan.

In Sya-Allah
Andalah yang akan bersama-sama dengan kepimpinan parti mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 untuk melakar kejayaan.

Sidang perwakilan sekalian
40. Setelah Pilihan Raya Umum selesai, pemilihan parti akan dijalankan dan pasukan baharu akan dipilih. Pasukan yang baharu itu mempunyai masa maksimum lima tahun untuk menumpukan tenaga dan gerak kerja demi kesejahteraan rakyat. Pada masa yang sama, kestabilan parti terus terpelihara, bagi menghadapi pilihan raya-pilihan raya umum seterusnya.

41. Sebagai peringatan buat kita bersama, izinkan saya sampaikan pesanan buat renungan:
Andai dimungkiri hasrat akar umbi
Pasti kita akan dibenci;

Andai dikhianati keputusan parti
Kita pasti akan dihakimi;

Andai tunduk kepada yang dimusuhi
Nescaya ia membinasakan diri;

Andai pahat masih berbunyi
Itulah tanda perbuatan keji;

Andai hasrat parti dijulang bersama,
Kegemilangan UMNO pasti menjelma;

Andai kita seia sekata
Negara pasti selamat sejahtera.

SELAMAT HARI RAYA EIDUL FITR
SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN UMNO KE-76
dan
SELAMAT BERSIDANG

Sekian, wabilahhi tawfiq wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit