UMNO Tegakkan Agama, Bina Bangsa, Ketamadunan Negara – Norliza

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, hari ini adalah tarikh keramat lahirnya sebuah parti yang menegakkan agama, membina bangsa dan ketamadunan negara.

Jelasnya yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, selama 76 tahun menjalankan tanggungjawab dengan penuh pragmatik, rasional, relevan dan dinamik berasaskan realiti semasa.

“Inilah UMNO. Tidak pernah gentar dan luntur walaupun dihina, dicaci, diherdik, ditikam dari belakang dan susah payah mendepani pelbagai dugaan dan cabaran, UMNO itu tetap berada di situ.

“Ayuh ayahanda Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi dibantu Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Naib Presiden UMNO lain, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta seluruh parti UMNO,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang turut menyertakan serangkap pantun berbunyi:

Gigih berjuang berjiwa besar,
Berkasih sayang jangan berpecah,
Biar dihalang tidak tersasar,
Letih bergelanggang redha mencecah.

Terdahulu beliau menjelaskan bahawa UMNO mempunyai visi iaitu:

Visi 1, ialah parti ini terus menjadi pejuang rakyat jelata tidak kira waktu.

Visi 2, Mengusahakan peluang dan ruang sehabis baik dalam keperluan sosioekonomi harian demi kelangsungan hidup.

Visi 3, UMNO perlu terus berani melakukan pembaharuan politik yang berdaya maju, mesra pengundi dan rakyat serta menampilkan pemimpin yang segar selari dengan keberanian pengundi untuk berubah.

Visi 4, parti keramat 76 tahun bersedia menampilkan 30 peratus atau lebih kepimpinan politik wanita sebagai calon kerusi Parlimen dan DUN bagi PRU15 selari dengan jumlah pengundi wanita yang ramai dalam negara ini.

Visi 5, secara realiti sekarang, UMNO hendak dilihatkan sebagai parti yang berwawasan, cermat, kebersamaan dan ada masa depan yg lebih menyakinkan bagi harapan rakyat jelata terutama dalam kalangan pengundi muda dan kaum lain.

Visi 6, kepimpinan UMNO hendaklah berterusan mencari makna dan perencanaan baharu terhadap perjuangan parti supaya rakyat terus percaya dan sokong. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit