Pelan Tindakan Bandar Pintar Negeri Johor Diharap Dapat Direalisasi Menjelang 2030
JOHOR BAHRU, 10 Mei – Kerajaan negeri berharap pelan tindakan bandar pintar dapat memperkasa agenda dalam mempersiapkan semua bandar di Johor bagi merealisasikan hasrat itu menjelang 2030.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata terdapat tujuh komponen bandar pintar telah digariskan iaitu Smart Government, Smart People, Smart Economy, Smart Living, Smart Mobility, Smart Environment dan Smart Digital Infrastructure.
Beliau berkata komponen terbabit akan menjadi panduan bagi menghadapi era baharu negeri maju yang bukan sahaja berkaitan keperluan penyediaan kemudahan dan teknologi tinggi malah merangkumi aspek pembangunan modal insan yang berkemahiran serta berpengetahuan.
“Hari ini saya berpeluang mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri kali pertama pada tahun ini yang antara lain membincangkan Pelan Tindakan Bandar Pintar Negeri Johor 2030.
“Kerajaan negeri amat mengutamakan pembangunan yang holistik dan bagaimana di peringkat perancangan ini kita dapat mempercepat urusan yang berkaitan dengan pertimbangan pelan pemajuan bagi merancakkan semula ekonomi negeri yang terjejas akibat COVID-19,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya semalam.
Onn Hafiz turut merakamkan penghargaan kepada pihak berkenaan atas komitmen yang diberikan.
“Semoga segala perancangan ini dapat kita laksanakan dengan baik, sama-samalah kita doakan,” katanya. – BERNAMA