Memandu Secara Berhemah, Hati-hati Agar Selamat Sampai Ke Destinasi – Norsabrina

BANDAR BAHARU, 7 Mei – Aliran trafik di lebuhraya utama negara dilaporkan Aliran tinggi berikutan orang ramai mula pulang meninggalkan kampung halaman selepas cuti Hari Raya Aidilfitri.

Dalam hal ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Nor meminta semua pengguna jalan raya memandu secara berhemah dan berhati-hati dalam perjalanan pulang ke kediaman masing-masing.

Katanya, ramai sudah memulakan perjalanan untuk pulang ke rumah masing-masing selepas menyambut Aidilfitri di kampung halaman.

“Saya berharap pengguna jalan raya memandu dengan berhemah, berhati-hati dan merancang perjalanan serta mematuhi peraturan yang telah ditetapkan agar selamat tiba di destinasi,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam masa yang sama, beliau turut meminta ibu bapa yang bakal menghantar anak-anak kembali ke asrama untuk memulakan persekolahan agar merancang perjalanan dan turut bersabar jika terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

“Kita akan kembali kepada rutin sediakala selepas sambutan hari raya, maka saya mohon juga agar semua akan berhati-hati, teruskan kawalan kendiri dengan mematuhi SOP biarpun kini telah banyak kelonggaran dibuat.

“Kita masih dalam Fasa Peralihan Endemik, dan kita masih perlu terus mematikan keselamatan serta keseihatan kita serta ahli keluarga kita semua.”

Dilaporkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan berlaku peningkatan kenderaan di lebuh raya bermula tengah malam tadi susulan pemberian tol percuma di Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) bermula 7 Mei hingga 11.59 malam pada 8 Mei.

LLM menjangkakan kesesakan akan berlarutan dan pengguna dinasihatkan merancang perjalanan terlebih dahulu selain mengikuti jadual Cadangan Waktu Perjalanan bagi mengelak kesesakan jalan raya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.