Berhati-hati Balik Kampung, Ahmad Zahid Kongsi Tujuh Tips Perjalanan Selamat

KUALA LUMPUR, 30 April – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersyukur ramai yang memilih bergerak pulang ke kampung bermula semalam untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga masing-masing.

Ucapnya lagi, dengan hati tulus ikhlas mendoakan semua selamat tiba ke destinasi dan sampaikan salam kepada seluruh keluarga di kampung.

“Bagaimanapun pesanan saya sentiasalah berhati-hati di jalan raya kerana tentunya kita mengerti maksud malang tidak berbau.

“Setiap kali musim perayaan jumlah kenderaan di jalan raya akan bertambah sekali gus meningkatkan risiko berlaku kemalangan.

“Perkara amat tidak diingini itu pasti dapat dielakkan jika kita mengamalkan pemanduan berhemah dan merancang perjalanan,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dalam satu hantaran di Facebook.

Berikutan itu, Ahmad Zahid berkongsikan sedikit tips perjalanan selamat yang sering beliau amalkan dan berharap ia bermanfaat kepada semua, insya-Allah.

1) Tetapkan laluan mana untuk digunakan, masa untuk bergerak dan jangkaan masa tiba serta lokasi untuk mengisi petrol atau berehat sebentar jika perlu. Ini untuk mengelakkan kita memandu dalam keadaan tergesa-gesa.

2) Pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan termasuk enjin, tayar, brek, lampu isyarat dan lain-lain yang ‘essential’ untuk sebuah perjalanan yang selamat.

3) Jika perlu buat ‘checklist’ barang yang akan dibawa bagi mengelak kita terlupa item penting. Seandainya tertinggal barang tidak terlalu penting mungkin boleh diredakan sahaja untuk mengelak terpaksa berpatah balik.

4) Sematkan dalam fikiran ‘tidak lari gunung dikejar’ bagi mendorong diri untuk sentiasa bersabar dan berhemah ketika menggunakan jalan raya.

5) Pastikan diri telah mendapat rehat yang secukupnya sebelum memulakan perjalanan. Usah memaksa diri kerana keselamatan diri dan keluarga paling utama.

6) Bawa bekalan makanan sewajarnya jjka perlu berhenti untuk berbuka puasa semasa dalam perjalanan. Ini secara tidak langsung dapat menjimatkan masa perjalanan.

7) Islam mengajar umatnya untuk berdoa ketika bermusafir, maka bacalah doa yang telah diajarkan kerana kepada Allah S.W.T jua kita bertawakkal. – UMNO ONLINE


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit