Tidak Perbaharui MoU Bertepatan Kehendak Akar Umbi – Azley

KUALA LUMPUR, 29 April – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kuala Selangor, Datuk Azley Yahya berpandangan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO untuk tidak memperbaharui memorandum persefahaman (MoU) bertepatan dan mengikut mandat daripada akar umbi parti.

Katanya, ini kerana sekiranya MoU ini diteruskan ianya sudah tentu memberi keuntungan kepada Perikatan Nasional (PN) dan parti-parti pembangkang lain.

“Saya lihat bahawa MoU 2.0 yang sangat dimahukan oleh Pakatan Harapan (PH) ini hanya akan lebih menguntungkan pihak pembangkang dan parti lawan seperti PN daripada memberi manfaat kepada UMNO dan BN.

“Helah untuk mendapatkan lebih masa dan talian hayat untuk mengukuhkan PH dan membina united opposition untuk melawan UMNO pada pilihan raya seterusnya. Kita tidak harus termakan dengan helah mereka ini.

“Jadi, saya tidak nampak ada keperluan untuk kita bergantung dengan PH untuk menjamin kerajaan yang stabil dan berada dalam situasi yang kekok dengan rakan-rakan di dalam Kabinet apabila ada di antara mereka adalah lawan kita pada Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor yang lalu,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Jelas Azley lagi, keputusan itu juga dicapai berdasarkan kepada situasi semasa yang ketika ini berada pada fasa pemulihan negara.

“Kini kita telah berada pada fasa peralihan endemik dengan pengurusan kesihatan awam yang efektif dan liputan kadar vaksinasi (termasuk dos penggalak) yang sangat tinggi meletakkan kita ke arah landasan kawasan pandemik yang cemerlang.

“Pembukaan sempadan dan kelonggaran kepada banyak sekatan dan peraturan adalah bukti kepada kejayaan Malaysia mendepani pandemik COVID-19.

“MoU itu ditandatangani pada asalnya adalah untuk memberi kestabilan kepada kerajaan kepimpinan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi mengelakkan berlakunya lagi drama untuk menukar PM baru dalam keadaan negara memerlukan tumpuan dan fokus kepada memerangi wabak COVID-19 dan usaha pemulihan ekonomi,” ujar beliau.

Beliau juga turut berharap kepimpinan parti mencapai kata sepakat terbaik bagi menentukan hala tuju parti termasuk tarikh bersesuaian bagi pembubaran Parlimen.

Katanya lagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) juga tidak harus diadakan terlalu lambat kerana ianya akan memberi kelebihan kepada parti pembangkang dan parti lawan pada kedudukan lebih kuat untuk menentang UMNO.

“Kita serahkan kepada kesepakatan top five UMNO dan kebijaksanaan Perdana Menteri untuk menentukan waktu sesuai bagi pembubaran Parlimen dan PRU-15.

“… ianya juga untuk mengelakkan UMNO berada pada keadaan yang rapuh akibat terlalu banyak ketidaksepakatan dan pertelingkahan yang merugikan parti.
katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Sa’adah Latib

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit