MARA Taja 1,500 Pelajar Ke Luar Negara Tahun Ini

KUALA NERANG, 28 April – Majlis Amanah Rakyat (MARA) meneruskan program penghantaran pelajar tajaannya ke luar negara membabitkan seramai 1,500 orang dalam pelbagai bidang dan peringkat pengajian pada tahun ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata program tajaan, biasiswa dan pinjaman MARA ini sudah dilaksanakan sejak 50 tahun lepas dan akan diteruskan pada masa akan datang.

“MARA meneruskan usaha untuk memberi tajaan dan biasiswa serta pinjaman kepada anak-anak Melayu dan bumiputera untuk belajar dalam bidang-bidang tertentu di luar negara,” katanya ketika ditemui selepas Program Ceria ke Sekolah dan Majlis Perasmian Projek Baiti Jannati Tenaga Nasional Bhd (TNB) serta majlis berbuka puasa bersama pelajar tingkatan enam dari tiga sekolah di sini semalam.

Beliau berkata MARA tidak mempunyai sebarang masalah berkaitan penghantaran pelajar ke luar negara ketika pandemik COVID-19 memuncak sejak dua tahun lepas kerana kelas pengajian dilaksanakan secara dalam talian.

“Sekarang tidak ada masalah, dahulu pun tidak ada masalah sebab pelajar mengikuti pengajian secara online, cuma kos kita rendah kerana dia tidak pergi lagi ke universiti itu,” katanya.

Ditanya mengenai pembayaran balik wang tajaan pelajar, Mahdzir berkata MARA tidak mempunyai masalah berkaitan perkara itu.

Katanya MARA juga tidak menetapkan pelajar tajaannya pulang bekerja dengan agensi tersebut, sebaliknya pelajar yang menamatkan pengajian di luar negara bebas memilih kerjaya di mana-mana syarikat atau agensi di negara ini.

Ketika ini, sejumlah 3,391 pelajar tajaan MARA sedang melanjutkan pengajian di 24 negara di seluruh dunia dengan 1,422 pelajar berada di United Kingdom.

Pada majlis itu, Mahdzir turut menyampaikan bantuan Program Ceria Ke Sekolah TNB kepada 257 pelajar tingkatan enam tiga sekolah dari daerah Padang Terap manakala dua keluarga miskin dari Kampung Kuala Tekai, Pedu, menerima kunci rumah kediaman di bawah Projek Baiti Jannati TNB. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit