Program MARA Prihatin Bantu Lebih 1,300 Pelajar Di Pahang

KUANTAN, 25 April – Lebih 1,300 pelajar daripada keluarga B40 dan asnaf di Pahang telah menerima manfaat sumbangan bantuan persekolahan di bawah program MARA Prihatin sejak awal tahun ini melibatkan peruntukan berjumlah RM160,500.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata sumbangan itu diharap dapat mengurangkan beban yang ditanggung keluarga kurang berkemampuan selain memberi galakan untuk pelajar terlibat.

“Bantuan ini juga sebagai galakan kepada pelajar terlibat untuk meningkatkan prestasi akademik yang secara tidak langsung menyumbang kepada kejayaan mereka pada masa hadapan.

“Saya percaya pelajar ini akan merebut dan menggunakan peluang yang disediakan oleh pihak MARA untuk melangkah dengan lebih jauh dan seterusnya akan dapat mengubah nasib keluarga ke arah lebih baik,” katanya.

Abdul Rahman yang merupakan Ahli Parlimen Lipis berkata demikian selepas menyampaikan bantuan kepada 300 penerima sumbangan tersebut sempena Program MARA Prihatin Ramadan anjuran MARA di Dewan Dato’ Haji Omar Othman di Wisma UMNO Lipis, hari ini.

Turut hadir Pengarah MARA Pahang Soffian Mustafa dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Nordin Ahmad.

Mengulas mengenai sumbangan itu, Abdul Rahman berkata sebahagian bantuan khas bernilai RM20,000 merupakan sumbangan daripada Yayasan Pelajaran MARA (YPM) untuk 200 pelajar sekolah rendah yang berkelayakan di daerah tersebut.

KPTM pula memberi sumbangan zakat berjumlah RM20,000 yang memanfaatkan penerima terdiri daripada pelajar KPTM dan Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM) yang berasal dari Kuala Lipis selain pelajar sekolah menengah dan asnaf dari daerah sama.

Sumbangan zakat dari KPTM itu merupakan sumbangan hasil daripada wakalah zakat korporat yang diterima daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Selain daripada sumbangan wang tunai, pelajar terlibat juga menerima sumbangan kelengkapan Aidilfitri yang dijangka akan disambut pada 3 Mei ini. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit