PM Berbuka Bersama Ketua, Timbalan Dan Setiausaha UMNO Bahagian
PUTRAJAYA, 22 April – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam berbuka puasa bersama ketua, timbalan dan setiausaha UMNO bahagian di kediaman rasminya di Seri Perdana, di sini.
Majlis yang dihadiri kira-kira 1,500 tetamu itu, turut disertai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri antaranya Datuk Seri Wan Rosdy (Pahang), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Kelantan) dan Tan Sri Noh Omar (Selangor).
Antara Ketua UMNO yang hadir pula adalah Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas), Datuk Seri Najib Razak (Pekan) dan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling).
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran 35 anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Asnaf Baitun Nurrawdhah di Keramat, Kuala Lumpur.
Ismail Sabri kemudiannya menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih secara berjemaah. – BERNAMA