Sokong Ismail Sabri Calon PM, Rapatkan Saf Fokus Menang PRU-15 – Veteran UMNO

KUALA LUMPUR, 19 April – Veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yussof Latiff menegaskan bahawa kini fokus harus diberi untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan untuk menang UMNO harus rapatkan semula saf, singkirkan mereka yang menjadi toksid, singkirkan ‘katak-katak’ dan maafkan mereka yang terkhilaf atau telah insaf.

Ujarnya, kesemua anggota UMNO dari peringkat tertinggi hingga ke akar umbi parti harus memberi sokongan ikhlas kepada Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob setelah Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti bersetuju mencalonkan beliau sebagai bakal Perdana Menteri pada PRU ke-15 nanti.

“Sebagai veteran parti, saya sangat yakin UMNO dan Barisan Nasional (BN) mempunyai peluang besar untuk membentuk semula kerajaan jika semua anggotanya terutama dikalangan para pemimpin parti bersifat ikhlas dan mahu melihat semula UMNO menunjangi kerajaan pada PRU ke-15.

“Bagi saya, keputusan MT UMNO pada Khamis sebulat suara bersetuju supaya Ismail Sabri menjadi calon Perdana Menteri itu adalah satu keputusan yang bijak dan berpandangan jauh demi kepentingan parti.

“Isu sama ada Ismail Sabri akan menjadi Presiden parti dan Pengerusi BN tidak harus dipolemikkan dan biarlah anggota parti tentukan pada pemilihan parti akan datang,” katanya.

Mohd Yussof yang pernah dinobatkan sebagai Tokoh Melayu Terbilang 2017 berkata demikian dalam kenyataan media kepada UMNO-Online, hari ini.

Ujarnya, Ismail Sabri telah membuktikan kemampuannya menjadi Perdana Menteri sekarang dan beliau juga menunjukkan sikap merendah diri dengan menghormati hierarkri parti.

“Dalam masa yang singkat Ismail Sabri telah menyakinkan Negara-Negara Asian untuk menggunakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi dan juga telah menyakinkan rakyat Malaysia khasnya orang-orang Melayu.

“Setakat ini rakyat telah selesa dengan kepimpinan Ismail Sabri kerana kesederhanaannya dan beliau memang layak jadi ‘poster boy’ sebagai Perdana Menteri,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit