Presiden Ucap Selamat Menyambut Nuzul Al-Quran, Moga Jadi Syafaat Di Dunia Dan Akhirat

KUALA LUMPUR, 19 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan selamat menyambut Nuzul Al-Quran 2022/1443H kepada seluruh umat Islam.

Katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Nuzul al-Quran mengenang peristiwa turunnya ayat al-Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW.

“Umat Islam berkumpul, mengadakan majlis khatam dan tadarus membaca ayat suci al-Quran beramai-ramai.

“Tentunya kita masih mengingati semasa pandemik COVID-19 sedang mengganas itu tidak dibenarkan.

“Kita bertadarus dan khatam al-Quran secara sendiri atau bersama keluarga di rumah masing-masing. Maka kita bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kini kita dapat melakukannya semula,” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya.

Katanya, beramai-ramai membaca dan menghayati ayat-ayat Al-Quran yang merupakan mukjizat ilmu.

“Peristiwa Nuzul Al-Quran salah satu peristiwa sangat penting dalam Islam. Penurunan Al Quran kepada Nabi Muhammad saw yang diturunkan melalui Malaikat Jibril memberi kesan sangat besar kepada peradaban manusia dan aspek kemanusian.

“Cukuplah dikatakan bahawa antara pusaka paling bernilai yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad saw kepada umat baginda ialah Al Quran itu sendiri.

“Jika tidak kerana Al Quran sudah tentu banyak kemajuan terutama aspek teknologi hari ini tidak akan dapat dicapai dan kita akan masih ketinggalan jauh dari apa yang dicapai pada zaman ini.”

Katanya, hargailah mukjizat al-Quran dan dalamilah maksud yang ingin disampaikan samada tersirat atau tersurat yang terkandung di dalamnya.

“Membaca Al Quran satu kewajipan yang penting namun lebih penting ialah kita menegakkan suruhan Al Quran di dalam kehidupan.

“Semoga Al Quran akan menjadi syafaat kepada kita di dunia dan akhirat,” katanya lagi.

Terdahulu beliau turut menyeertakan Riwayat Muslim (804) iaitu: “Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat sebagai syafaat kepada para pembacanya.” – UMNO Online


Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit