Kebersamaan UMNO, Keberkatan Ramadan & Agenda Perjuangan

RAMADAN bulan penuh keberkatan, bulan rahmat yang tentunya menjadi impian setiap insan bagi meningkatkan ibadah untuk menjadi lebih baik, terus istiqomah dan meningkatkan amal soleh.

Sesungguhnya, Ramadan ini adalah kebersamaan yang amat bermakna, bukan hanya untuk kepentingan peribadi dalam melaksanakan ibadah tetapi juga dalam meneruskan agenda perjuangan atas nama agama, bangsa dan negara.

Begitu jugalah UMNO yang telah melestarikan jawapan dalam agenda baharu bagi menyemarakkan obor perjuangan parti apabila mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) baru-baru ini memutuskan perkara-perkara penting yang amat signifikan.

Betapa keberkatan Ramadan menjadi aplikasi dalam menentukan kesepakatan antara ‘Top 5’ UMNO dan ahli-ahli MKT yang bermesyuarah. Bak kata pepatah, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat maka perbincangan dalam mesyuarat menjadi kata pemutus hala tuju parti.

Dalam Ramadan yang ke-12, MKT bermesyuarat dengan dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan telah membuat ketetapan yang menyempurnakan mandat Perhimpunan Agung UMNO serta aspirasi ahli parti seluruh negara.

Keputusan sudah muktamad iaitu kedudukan Memorandum Persefahaman (MOU) di antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) yang berakhir 31 Julai 2022 tidak akan diteruskan lagi.

Paling penting adalah kata sepakat MKT yang sebulat suara mencadangkan agar Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.

Dalam hal ini, sokongan dari segenap kepimpinan MKT adalah amanah kepada Naib Presidennya bagi menjadi ‘poster boy’ lantas endosmen kepada ruang yang cukup luas untuk Ismail Sabri menyusun dan merencana agenda seterusnya selaku Perdana Menteri bagi memenangi hati dan minda rakyat.

Bagi Presiden dan Timbalan Presiden UMNO, malah kepimpinan MKT yang lain juga, ini adalah manifestasi jiwa besar bahawa UMNO bukanlah parti yang dinakhodai oleh pihak berkepentingan sendiri sebaliknya kemaslahatan dan kedaulatan negara dan rakyat adalah yang utama.

Betapa Ramadan menjadi simbolik kepada penyatuan kepimpinan parti yang sentiasa mengutamakan asas dan tujuan UMNO iaitu berjuang mendukung cita-cita demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara.

Solidariti dalam parti demi agenda mengembalikan kemakmuran tanah air dan mensejahterakan rakyat setelah melalui ‘zaman gelap’ selepas Pilihan Raya Umum ke-14 bukanlah perkara main-main atau cakap kosong.

UMNO membuktikan retorik politik dan sandiwara tidak termaktub dalam parti ini sebaliknya realiti mendepani masa depan dengan kebersamaan dari kepimpinan tertinggi hinggalah ke segenap anggota akar umbi adalah pasti.

Itulah juga manifestasi ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ iaitu bukan untuk mengejar jawatan tetapi kebersamaan bagi mencapai kejayaan dan kali ini tentunya gerak kerja adalah mengembalikan mandat UMNO sebagai tampuk kuasa negara.

Bukan itu sahaja, keputusan MKT menetapkan bahawa pembentangan Akta Anti Lompat Parti mesti diteruskan dan disokong untuk diluluskan tanpa berkompromi dengan gesaan mana-mana pihak yang cuba menggagalkan mahupun cubaan untuk merubah maksudnya kepada bentuk perundangan yang lain.


UMNO berpendirian bahawa Akta Anti Lompat Parti mesti segera direalisasikan sebagai satu manifestasi untuk memastikan hak pengundi sentiasa terpelihara dan dihormati. Kerana adanya lompat parti inilah pelbagai kecelaruan berlaku selepas PRU-14.

Sememangnya kata putus bukanlah mudah dicapai tapi tentunya telah diperhalusi dengan mengimbang antara yang baik dan yang buruk, malah kepimpinan parti tentunya arif ‘menarik rambut dalam tepung’ perlu cermat agar rambut tak putus dan tepung tak berselerak.

Gerak kerja dilaksana di segenap peringkat yang tentunya bukan sahaja untuk menunggu pilihan raya namun sememangnya UMNO itu adalah sentiasa bersama rakyat, menabur bakti dengan keakraban yang melata mengisi ruang dengan ahli-ahlinya memberi tanpa diminta, membantu semua biarpun seteru malah seikhlas mungkin amanah dipikul dengan agama diangkat sebagai martabat.

Sebagaimana keputusan sebulat suara usul Perhimpunan Agung UMNO 2021 lalu, MKT juga memutuskan bahawa usul dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lalu juga dipersetujui maka satu Perhimpunan Agung UMNO Khas akan diadakan pada 14 Mei 2022 (Sabtu) bagi melakukan pindaan Perlembagaan UMNO mengenai tempoh pemilihan parti.

Sungguh, rahmat Ilahi pada UMNO melimpah sebagaimana perancangan untuk merealitikan Perhimpunan Agung UMNO Khas pada bulan hadapan, iaitu bulan kelahiran UMNO yang ke-76 pada 11 Mei. Ditambah pula dengan bulan Syawal yang menjadi simbolik kemenangan, semoga bertambah kurnia Ilahi kepada parti ini. Apatah lagi, MKT memaklumkan bahawa pada hari Perhimpunan Agung UMNO Khas dilaksana akan diadakan juga Sambutan Hari UMNO dan Jamuan Hari Raya Aidilfiri.

Terbukti, UMNO ini adalah teras kebersamaan dan penyatuan bangsa yang kemudiannya akan menjadi penaung kepada kesejahteraan negara. Kebersamaan kepimpinan dalam MKT UMNO yang bermesyuarat tidak habis setakat itu sahaja sebaliknya ia disusuli acara berbuka puasa beramai-ramai yang disertai ahli parti pelbagai peringkat di samping meraikan anak-anak yatim, solat berjemaah, berterawih dan jamuan moreh menutup acara.

Apa yang pasti, solidariti kukuh untuk berdepan cabaran PRU-15 semakin tampak. Lantas, simpulkanlah ikatan rapi, eratkan gengaman tangan dengan melangkah terus maju ke depan kerana sememangnya UMNO sebuah perjuangan yang sentiasa mendepani cabaran, menerjang masa depan.

EDITOR UMNO ONLINE
ROPIKAH AHMAD

 

********************************

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.