Ismail Sabri Calon PM, Tunjukkan UMNO Stabil Hadapi PRU15 – Mohamad

SEREMBAN, 18 April – Keputusan UMNO mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), menunjukkan kesepakatan dan kestabilan parti itu menghadapi PRU15.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata keputusan itu juga jelas menunjukkan kematangan parti, sekali gus menutup spekulasi bahawa parti itu berkecamuk dalam menentukan ‘poster boy’.

“Bagi saya menghadapi pilihan raya, kita mesti uruskan ‘rumah tangga’ kita dulu, kita perlu pastikan dalam rumah tangga kita teratur, kalau rumah tangga berkecamuk, siapa yang nak kita tonjolkan, ia menjadi tanda tanya dan jadi berebut-rebut itu tidak baik bagi parti, jadi bila pucuk pimpinan dah memutuskan ini maka dalam parti lega.

“Orang kata UMNO berkecamuk, tak dapat pilih siapa ‘poster boy’, jadi kita jelas bahawa kita bersepakat perdana menteri sekarang adalah calon terbaik…UMNO kini bersatu, tenang dan bersiap sedia hadapi pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14 di sini hari ini.

Mohamad yang juga ADUN Rantau itu berkata tindakan menamakan Ismail Sabri itu juga, menunjukkan kestabilan UMNO dengan tiada lagi masalah dalaman yang timbul, sekali gus parti itu boleh menyusun strategi menghadapi PRU15 nanti.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya UMNO itu turut mengulangi pendiriannya bahawa, tempoh sekarang hingga Jun ini merupakan ‘masa terbaik’ sekiranya diadakan PRU15 berdasarkan ‘faktor semangat’ dalam kalangan jentera pilihan raya, selepas kemenangan dalam PRN Melaka dan Johor.

“Mood ‘feeling good’ itu masih ada, ketika ini juga kita lihat parti pembangkang dalam keadaan bercempera (pecah-belah), jadi sebagai perancang kepada parti, ini waktu terbaik diadakan PRU15.

“Kita ikut ‘window’ fasa berfasa, masanya dari sekarang hingga Jun, kalau lebih (dari tempoh itu) kita tengok ‘window’ lain sebab dinamik politik berubah-ubah, kita tak boleh kata keadaan ini berpanjangan sehingga akhir tahun atau tahun hadapan…perlu kaji dengan teliti,” katanya.

Mengulas mengenai persiapan PRU15, Mohamad berkata beliau akan ke setiap negeri selepas Ramadan, bagi memantau dan meneliti kerusi mana yang perlu difokuskan dan berpotensi untuk peroleh kemenangan.

“Ada kawasan yang kita nak kekalkan, ada kawasan yang kita nak dapatkan dan ada kawasan yang kita nak kurangkan kekalahan, itu strategi saya…kita perlu berpijak di atas realiti, bukan semua kita mahu bertanding,” jelasnya. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit