Pelik Bin Ajaib… Waspada Ada Sesumpah Mati Hidup Semula

Salam Ramadan Kareem. Bulan mulia untuk kita meraih keberkatan dan meningkatkan amalan. Alhamdulillah… moga kita terus istiqamah kepada Allah SWT.

Sejak kebelakangan ini seakan ada pemimpin dalam parti-parti tertentu yang tiba-tiba muncul walaupun sebelum ini rakyat sangat-sangat susah, tertekan dan terhimpit… mana mereka langsung tak ada tapi sekarang seakan ‘mati hidup semula’. Ini termasuklah menteri-menteri zaman PH yang penuh kesumat, zaman PN ikut suka sendiri malah dalam kerajaan Keluarga Malaysia sekarang pun menunggu MoU tamat?

Persoalannya adakah pemimpin ‘mati hidup semula’ ini ada balik kerana cerita-cerita tentang Pilihan Raya Umum makin dekat?

Sebab itu saya nak minta orang ramai agar waspada dengan ‘sesumpah’ menjelang pilihan raya. Maknanya, waktu nak pilihan raya timbul… lepas tu hilang berzaman tanpa ambil kisah rakyat yang undi mereka… bila tiba nak dekat pilihan raya ada balik dan mula dengan pelbagai taktik bagi mengaburi mata rakyat.

Saya ambil contoh situasi yang berlaku di Parlimen Putrajaya. Ada pemimpin parti bunga yang selama ini tak pernah nampak bayang mula buat agihan yang antaranya kurma dan kalender. Pelik bin ajaib…

Memanglah tak salah memberi lagi-lagi mengambil barakah bulan Ramadan… cuma yang peliknya kenapa tiba-tiba muncul sedangkan dari zaman kerajaan PH pada tahun 2018 dan kemudian PN… tak ada nampak pun batang hidung apatah lagi nak berikan bantuan pada rakyat.

Tahun-tahun sebelumnya tak ada pun sesiapa muncul berikan apa-apa malah tahun lepas waktu Ramadan juga semua rakyat berada dalam pandemik Covid-19 tapi tak ada pun mana-mana pemimpin waima PPBM yang ketuanya adalah PM hulur bantuan.

Jadi, tak mustahil perkara sedemikian berlaku di semua tempat dalam negara kita. Pemimpin politik ‘sesumpah’ yang ‘mati hidup semula’ akan ada dimana-mana. Sebab itu saya mohon agar semua waspada dan jangan tertipu lagi dengan agenda retorik dan bukan niat ikhlas untuk bersama rakyat.

Sungguh… taktik dan modus operandi parti-parti politik yang mula menabur macam-macam kepada rakyat pernah berlaku sebagaimana sebelum PRU-14. Ayat-ayat manis dan pemberian ‘gula-gula’ menjadi pemancing undi.

Saya dah melalui masa-masa sukar dalam pembangkang, ditekan dan dihimpit malah tak ada bantuan apa-apa diberikan namun sedaya upaya saya lakukan demi keluarga besar saya komuniti Putrajaya dengan menyalurkan bantuan prihatin.

Bukanlah nak mengungkit, tapi pemberian yang dilaksana oleh Pusat Khidmat Parlimen Putrajaya di bawah kendalian saya tidak pernah terhenti. Dari zaman kerajaan BN hinggalah menjadi pembangkang malah kini pun masih tetap ada saluran bantuan prihatin dibuat.

Saya sentiasa usahakan bantuan dalam apa juga keadaan sekalipun saya ditekan dan dihimpit berdepan pendakwaan, turun naik mahkamah namun rakyat yang jadi tanggungjawab saya tak sesekali saya abaikan.

Lebih dari itu sumbangan kepada rakyat dilaksana yang dilakukan dalam pelbagai bentuk, dari segi perjuangan kemudahan asas hinggalah kepada sumbangan barangan dapur; beras, susu, biskut, roti, minyak, makanan dalam tin selain ikan, ayam beku, daging burger dan lain-lain lagi.

Begitu juga dalam bulan Ramadan, Program Maidatul Rahman Nur Ramadan telah menjadi tradisi di Putrajaya, tetap berjalan dari saya dalam kerajaan dan kemudian bergelar pembangkang malah bukan hanya kurma sahaja tetapi ada juga serunding dan kentang goreng.

Dengan apa yang berlaku, nilailah kembali… antara PH, PN yang kedua-duanya ada PPBM berbanding dengan BN yang tetap teguh ‘kata dikota, janji dilaksana’. Cukuplah sekali dan jangan sampai ‘pisang berbuah dua kali’.


TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR
Bendahari UMNO
Ahli Parlimen Putrajaya

*************************************************

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.