Siap Sedia Berdepan PRU15, Anggota UMNO Setiap Peringkat Perlu Bersatu – Veteran UMNO

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Veteren UMNO, Tan Sri Dr Mohd Yusoff Latiff mengingatkan bahawa matlamat utama UMNO kini ialah membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang sangat hampir apabila Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri telah ‘meniup semboyan’ meminta semua anggota UMNO memberi kuasa kepada lima pemimpin tertinggi UMNO untuk berbaincang mengenainya.

Ujar beliau yang juga Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), sebagai veteran parti, beliau dapat merasai jiwa perjuangan UMNO dikalangan orang Melayu masih kuat.

“Parti keramat ini seperti baru bangkit dari kejatuhan dan lukanya masih terasa walaupun kini diberi nafas untuk menerajui kuasa secara berkongsi dengan Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam kenyataan media kepada UMNO Online hari ini.

Beliau yang pernah dinobatkan sebagat Tokoh Melayu Terbilang 2017 juga menegaskan bahawa jika UMNO benar-benar mahu kembali memerintah maka semua anggota parti dari pucuk pimpinan pusat sehingga ke anggota biasa cawangan supaya bersatu

“Jika UMNO benar-benar mahu kembali memerintah, saya ingin menyeru menggesa semua anggota parti dari pucuk pimpinan pusat sehingga ke anggota biasa cawangan supaya bersatu dan mencontohi sikap tawaduk dua pemimpin iaitu Naib Presiden merangkap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Mantan Menteri Besar Johor Datuk Seri Hasni Mohammad.

“Semua anggota UMNO terutamanya golongan muda harus melihat bagaimana kedua-dua pemimpin diperingkat pusat dan negeri itu menunjukkan keikhlasan untuk setia bersama parti dan tidak menunjukkan kekecewaan terhadap sebarang kritikan.

“Ismail Sabri telah menunjukkan bahawa beliau menghormati hierarki parti walaupun kedudukannya adalah nombor satu dalam kerajaan. Beliau masih menghormati Presiden dan Timbalan Presiden dalam sebarang perkara termasuklah sanggup berjalan dibelakang Presiden dan berucap dengan penuh rendah diri.”

Jelas Dr Mohd Yusoff, Ismail Sabri telah menyatakan beliau tidak akan membiarkan obor perjuangan UMNO malap, tapi terus subur dan menyala serta membakar semangat perjuangan bersama.

“Beliau mengakui apa saja keputusan dalam Kabinet sentiasa akan mengutamakan pandangan dan suara UMNO demi menjaga kepentingan rakyat dan menyifatkan dirinya sebagai orang parti.

“Begitu juga Hasni telah menyatakan beliau menerima keputusan untuk memberi laluan jawatan Menteri Besar kepada golongan lebih muda walaupun semasa pilihan raya negeri di Johor itu beliau adalah “poster boy” sebagai Menteri Besar.

“Hasni telah menunjukkan sikap kesetiaannya kepada parti. Beliau langsung tidak menunjukkan reaksi kekecewaannya dan walaupun menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, namun beliau berjanji akan membantu Menteri Besar yang baharu iaitu Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk menerajui negeri itu.”

Selaras itu katanya, jika para pemimpin UMNO mempunyai jiwa yang besar seperti itu, maka beliau yakin rakyat akan kembali menyokong UMNO dan percaya dengan kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Semua pihak harus hentikan sikap tamak haloba, merebut jawatan dan rakus mengaut kekayaan dengan jawatan yang dipegang. Saya memohon agar semua pemimpin UMNO kembali kepada perjuangan asal UMNO dan tidak lagi merebut jawatan bertujuan mencari kekayaan.

“Mereka harus sedar dan iklhas memegang jawatan demi agama, bangsa dan negara serta jadilah golongan Pemimpin yang berintegeriti, jujur, amanah dan anti rasuah. Pemimpin yang seumpama ini tidak akan kompromi dengan pecah amanah tetap menjadi banteng yang kukuh untuk mempertahankan parti dan maruah bangsa serta Negara,” katanya.

Terdahulu beliau mengucapkan tahniah kepada UMNO kerana telah berjaya melangsungkan Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) dengan jayanya baru-baru ini. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit