Tak Ada Orang Presiden, Tok Mat, PM, Bossku… Yang Ada Orang Parti – Shahaniza 

KUALA LUMPUR, 20 Mac – Tiada orang presiden, tiada orang Tok Mat, tetapi juga tiada orang perdana menteri…bukan juga orang Bossku tetapi yang ada semua orang UMNO, orang parti, kata Wakil UMNO Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsudin.

Berucap pada perbahasan usul ucapan dasar presiden Perhimpunan Agung UMNO 2021, beliau seterusnya menegaskan sebagai orang parti, tentunya parti adalah segala-galanya dan jangan sesekali mendengar pelbagai hasutan dan sebagainya.

“Saya bukan orang Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), tapi saya sayangkan Presiden, saya bukan orang Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) tetapi saya sayangkan Tok Mat, saya juga bukan orang PM (Perdana Menteri-Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), bukan orang Bossku (Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak) tetapi sebagai orang Pahang mestilah saya sayang dan bangga dengan mereka berdua.

“Yang pasti dan juga majoriti yang ada dalam dewan ini adalah orang parti. Orang parti yang mendahului parti dari segala-galanya. Jangan dengar adu domba yang nak melemahkan kita. Jangan termakan bisikan-bisikan syaitan di telinga kita. Kami di bawah ini menanti dengan setianya, sentiasa bersiap siaga, menunggu semboyan perang dibunyikan,” kata Ketua UMNO Bahagian Maran itu lagi.

Shahaniza seterusnya menambah UMNO tidak boleh berada dalam keadaan dilema yang akan memusnahkan segala ’feel good factor’ yang ada sekarang dan jika pemilihan diadakan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) maka ianya akan mengundang masalah dalaman.

“Kita bukan takut berlawan…kita dah biasa berlawan. Di bahagian saya sendiri berkali-kali saya kata siapa nak lawan…lawan. Ini adalah demokrasi tetapi hakikatnya pertandingan dalam pemilihan di segenap peringkat akan menyebabkan usaha dan masa yang lama diperlukan untuk meredakan suhu bahang pemilihan.

“Ya..UMNO memang sudah lama matang dalam berdepan situasi pemilihan parti yang diadakan sejak tujuh dekad yang lalu, namun percayalah jika PRU diadakan dahulu sebelum pemilihan maka kita lebih cerah memenangi PRU-15 dalam keadaan masalah dalaman parti berada pada tahap minima berbanding pemilihan diadakan sebelum PRU,” pesannya. – UMNO Online  

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.