Veteren UMNO Bawa Dimensi Baharu, Penyeri Perjuangan Parti – Othman

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Pembahas mewakili Veteran UMNO Malaysia, Datuk Othman Desa berpandangan veteran membawa suatu dimensi baharu kepada perjuangan parti keramat ini.

Katanya, ini kerana Veteran UMNO mempunyai kredibiliti yang tersendiri berbekalkan pengalaman bersama UMNO dalam membawa aspirasi membela agama, bangsa dan negara.

“Terimalah veteren sebagai penyeri perjuangan UMNO yang kita dukungi ahlinya semakin hari semakin tambah.

“Kami bukan katak… tidak akan pernah melompat dahulu kini dan selamanya tetap bersama UMNO.

“Veteran ini ada semangat, pengalaman, kontak, keluarga sebab itu kita punya produk ‘KeluargaKu Pengundi BN’,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengambil bahagian sebagai pembahas pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini.

Sementara itu, beliau juga merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengambil kira faktor WALI untuk dijadikan calon pada pilihan raya.

“Veteran sangat gembira dengan prinsip WALI iaitu winnable iaitu memenangi, acceptable (diterima) dan likeable (disukai) yang diberi oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ini terbukti dengan kemenangan di Melaka dan Johor.

“Kita tidak mahu calon yang loklak, orang Kedah kata wakil rakyat kena kerja habis meta atau bersungguh-sungguh dalam menyantuni rakyat supaya manifesto yang kita buat itu adalah sesuai,” ujar beliau.

Othman pada masa yang sama turut berharap ahli UMNO untuk terus istiqamah dalam membawa agenda perjuangan parti ini.

Katanya, hubungan kekeluargaan dalam parti keramat ini perlu dijaga sebagai benteng pertahanan mengambil kira tohmahan yang terjadi sebelum ini.

“Jangan timbul masalah sesama kita sehingga orang lain kata kita ini bermasalah tapi sekarang ini tuduhan, fitnah, dakyah tidak menjadi,” tegas beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Sa’adah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.