UMNO Perlu Wujudkan Sekolah Politik, Antara Cadangan Wakil Perak

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Pembahas dari negeri Perak Datuk Azhar Ahmad mencadangkan agar UMNO mewujudkan sekolah politik untuk generasi muda dengan kadar segera.

Kata Ketua UMNO Bahagian Beruas itu, ini bagi memberi ilmu pengetahuan kepada generasi muda seawal usia 16 tahun mengenai makna perjuangan dan pembinaan negara bangsa.

“UMNO tidak ada sekolah politik. Dap ada sekolah politik, Pas ada sekolah politik. UMNO tidak ada sekolah politik kerana UMNO menjadi kerajaan…tidak merasa perlu sekolah politik.

“Kita hendak orang muda sokong kita…orang muda mesti diajar politik, kerana Socrates kata politik ini bagaimana menguruskan kehidupan. Kena hidupkan balik (seperti) di pusat (ILMU) Janda Baik dan di mana-mana sahaja.

“Sekolah politik mesti dilaksanakan dengan kadar segera untuk melatih anak-anak muda kita bermula umur 16, 17 tahun. Setuju tuan-tuan?” soalnya sambil disahut setuju oleh perwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.

Cadangan pembahas Usul Ucapan Dasar Presiden itu turut mendapat perhatian pengerusi persidangan Tan Sri Badruddin Amiruldin yang berkata ia satu pandangan yang baik demi generasi akan datang.

Jelas Azhar lagi, UMNO juga perlu mewujudkan serta memperbanyakkan lagi universiti seperti penubuhan Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR).

“Begitu juga dengan universiti. Sepanjang zaman menjadi kerajaan kita menganggap UiTM (Universiti Teknologi Mara) kita punya, UTM (Universiti Teknologi Malaysia) kita punya, Universiti Malaya (UM) kita punya, semua universiti kita punya…mulai saat ini fikirlah, sinergilah untuk mewujudkan universiti UMNO. Universiti Tun Razak perbanyakkan lagi.

“Kalau dari segi ratio dominan orang Melayu 60-70 peratus takkan satu sahaja UNITAR sahaja, kita mesti perbanyakkan lagi universiti yang dibina oleh UMNO,” gesanya lagi.

Tambahnya lagi, UMNO mesti memberi sokongan yang kuat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di dalam memperkasakan Bahasa Melayu.

“Jadi saranan perdana menteri memperkasakan Bahasa Melayu mesti disambut oleh UMNO tanpa sedikit pun rasa gentar.

“Agensi-agensi kerajaan mesti melaksanakan. Kementerian-kementerian, mahkamah-mahkamah mesti mempercepatkan proses memperkasakan Bahasa Melayu ini. Kalau kita tidak sambut bagaimana orang lain nak peduli.

“Bahasa Melayu bahasa ilmu, bahasa perantara. Kalau dulu pedagang-pedagang luar dari seantero dunia nak masuk negara ini mesti fasih bahasa Melayu,” katanya.

Ulas Azhar, Prof Dr Hamka menyebut negara-negara nusantara ini ada enam negara, Tanah Melayu, Thailand, Indonesia, Singapura, Filipina dan Brunei Darussalam.

“Kitab-kitab yang ditulis di Patani, Thailand boleh dibaca di Pulau Jawa. Kiai-kiai di Pulau Jawa menulis kitab orang Pulau Pangkor boleh baca. Kitab-kitab yang ditulis di Brunei Darussalam orang Acheh boleh baca.

“Maknanya apa? Bahasa Melayu ini telah dipertuturkan 600 tahun yang lalu oleh kepulauan Melayu amalkan satu lingua franca tetapi resamnya dalam tulisan jawi,” ujarnya.

Menyentuh mengenai kestabilan, Azhar berkata perkara yang paling penting adalah kestabilan politik di dalam negara ini kerana ia amat rapat dengan kemakmuran ekonomi.

Walau bagaimanapun, ia juga mesti bermula dengan kestabilan politik di dalam parti sendiri di mana semua pihak harus bersatu padu dan seterusnya mengukuhkan parti. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.