Pas Terengganu Tidak Terjemah Agenda Kerjasama MN Sejak Awal 

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Pembahas Terengganu, Bazlan Abdul Rahman meluahkan kekesalan dengan kepimpinan Pas yang tidak menterjemahkan kerjasama Muafakat Nasional (MN) di negeri itu sejak dimeterai dua tahun yang lalu.

Katanya, cerminan sebenar Pas Terengganu dapat dilihat kerana mereka seolah-oleh tidak ikhlas dalam membawa agenda penyatuan MN.

“Kami berhadapan dengan Pas sejak tiga generasi yang lalu. Parut yang ditinggalkan oleh Pas masih dirasai hingga ke anak cucu orang UMNO hari ini… sejak peristiwa solat dua imam, kafir mengkafir, nikah dua kali, sembelihan tidak boleh dimakan dan segala macam fatwa songsang yang telah dikeluarkan oleh Pas.

“Ketika ini UMNO Terengganu masih menguasai satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu tapi dipandang sepi oleh kerajaan negeri pimpinan Pas. Sepanjang dua tahun melayari bahtera MN di Terengganu, tiada cerminan sebenar terjemahan muafakat yahg dapat ditunjukkan. Inilah sikap sebenar mereka, tiada pun hasrat untuk benar-benar menginsafi kesilapan yang lalu.

“Sebab itulah, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said, sentiasa konsisten mengingatkan kepada pucuk pimpinan agar berhati-hati dengan helah Pas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan di Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini, hari ini.

Sementara itu, bercakap mengenai Barisan Nasional (BN), Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiu itu berpandangan kekalahan parti ini pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu memberikan suatu hikmah yang tersendiri.

Katanya, tragedi ini diibarat seperti ujian untuk mengukur kesetiaan dalam perjuangan memartabatkan agenda agama, bangsa dan negara.

Jelas beliau, melalui keadaan ini juga membuka lompong-lompong kelemahan dan juga watak sebenar Pakatan Harapan (PH) ketika berada di puncak kuasa.

“Kita benci akan kekalahan, namun yang kita benci itu ada kebaikannya Allah nak tunjuk satu persatu kepada kita siapa kawan, siapa lawan, siapa setia, siapa khianat, siapa tahan diuji, siapa yang lompat si katak lompat.

“Di sebalik ujian kekalahan yang diberikan ini, ia memberi peluang kepada rakyat menilai tentang pilihan yang disangka dapat memperjuangkan kehendak dan kepentingan rakyat namun akhirnya tetap bertuhankan nafsu dan kepentingan diri semata-mata.

“Duit rakyat dijarah dan disonglap, hutang (negara) ditambah. Apatah lagi kepentingan negara juga digadai. Mungkin Allah nak tunjuk kepada rakyat, setiap parti tidak sama memerintah. Satu persatu, Allah tunjuk kepada kita perkara yang dituduh dan dituju kepada UMNO akhirnya terpalit kepada mereka dan jelas mereka tidak mampu untuk mentadbir negara sebaik parti keramat ini,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Sa’adah Latib

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit