Serah Kepada ‘Top 5’ Bincang Pemilihan Dan PRU, Hentikan Tindakan Lemahkan Parti  – UMNO Melaka

KUALA LUMPUR, 18 Mac – UMNO Melaka hari ini memberi kepercayaan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan bagi membincangkan soal keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) mahupun pemilihan parti dan semua pihak perlu akur dengan sebarang keputusan yang dibuat kelak.

Berucap sebagai pencadang usul ucapan dasar presiden Perhimpunan Agung UMNO 2021, Datuk Mustafa Musa berkata terserah kepada pimpinan parti untuk membincangkan soal tersebut apatah lagi Naib Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berada di dalam ‘top 5’ berkenaan.

“UMNO Melaka memberi kepercayaan penuh kepada pucuk pimpinan parti bagi membuat keputusan PRU-15 dan bincanglah elok-elok ‘top 5’. Jangan ada dusta antara kita. Jangan ada batu api pengadu domba. Hentikanlah kerana tindakan tidak bermaruah ini hanya akan melemahkan parti.

“Beri kepercayaan kepada ‘top 5’  dan di dalamnya ada Perdana Menteri bincanglah dengan penuh kasih sayang. Elakkan mementingkan diri sendiri dan adu domba sesama kita,” katanya.

Kata beliau lagi UMNO Melaka berhasrat agar pemilihan diadakan selepas pilihan raya bagi memastikan kelancaran perjalanan jentera dan sebagainya.

“Kalau positif COVID ianya tujuh hari tetapi pemilihan parti parut tetap ada. Apabila ada pemilihan sebelum pilihan raya banyak hati yang terguris. Bukan setakat itu dibimbangi akan menyebabkan berlakunya rombakan struktur dan tiba-tiba pilihan raya dipanggil keadaan akan jadi haru-biru.

“Cukup masanya bertandinglah. Pemilihan parti mestilah diadakan selepas pilihan raya dan jangan kompromi. Ikut keputusan parti,” ujarnya.

Dalam ucapannya itu juga beliau turut mendesak agar kerajaan melihat kos sara hidup rakyat yang rata-rata terkesan.

“Hari ini ada macam-macam bantuan tetapi rakyat masih lagi terkesan. Petani, nelayan, pemandu teksi, penoreh getah, penjaja di kali lima dan sebagainya lagi terkesan. Jangan lupa orang kampung, bandar dan desa,” tambahnya.

Tambahnya lagi soal pendidikan negara juga perlu dilihat secara mendalam apatah lagi dengan penyesuaian senario semasa negara yang berdepan COVID-19.

“Pendidikan negara jangan dicatur dan dilacur. Macam-macam perubahan terakhir dibuat malah anak-anak kita menjadi bahan dagangan dan bahan percubaan.

“Pembelajaran bersemuka terjejas dengan capaian internet yang kurang. Saya mohon kementerian pendidikan supaya lebih berhemah dalam perkara supaya pendidikan tidak hancur dan berkecai,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit