Perhimpunan Agung UMNO 2021 Jadi Tumpuan

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Perhimpunan Agung UMNO 2021 bermula hari ini dan selepas dua tahun, ia diadakan secara bersemuka sepenuhnya.

Perhimpunan tahun lepas berlangsung secara hibrid manakala tahun sebelumnya tidak diadakan berikutan pandemik COVID-19.

Perhimpunan yang disertai 5,571 perwakilan itu kali ini dilihat penting bagi parti berusia lebih 70 tahun itu menentukan hala tujunya dalam menghadapi cabaran ketidakstabilan politik serta persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ia bermula dengan acara menaikkan bendera Sang Saka Bangsa yang dijadual pada 8 pagi di Plaza Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) dan diikuti pemeriksaan barisan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Selepas itu, perasmian persidangan oleh Ahmad Zahid pada 9 pagi di Dewan Merdeka, kemudian diikuti dengan sesi perbahasan dan diakhiri sesi penggulungan.

Acara bagi Perhimpunan Agung UMNO 2021 diadakan selama empat hari bermula Rabu dan selaras dengan situasi COVID-19, ia diadakan dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat termasuk pematuhan pemakaian pelitup muka serta penjarakan fizikal.

Pada Rabu, berlangsung perasmian serentak dan diikuti persidangan tiga sayap Wanita, Pemuda dan Puteri pada Khamis yang menyaksikan pemantauan ketat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Jabatan Kesihatan Negeri.

Secara keseluruhan, perwakilan bagi ketiga-tiga sayap menekankan persiapan jentera parti dalam menghadapi PRU15, susulan kejayaan Barisan Nasional dan UMNO memenangi dua Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Perhimpunan edisi kali lebih meriah berbanding tahun lalu dengan menganjurkan pameran agensi kerajaan serta jualan makanan dan minuman menggunakan trak makanan. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit