Patuhi SOP, Perwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2021 Bersidang di Dua Dewan

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Buat julung kalinya para perwakilan yang hadir ke Perhimpunan Agung UMNO bersidang dalam dua dewan berbeza berikutan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepertimana yang digariskan.

Jika kebiasaan Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) menjadi dewan utama tetapi kali ini sebahagian perwakilan ditempatkan di Dewan Tun Razak 4 yang berada di aras yang sama.

Jumlah perwakilan yang hadir dari 191 bahagian di seluruh negara berjumlah 2,594 dipecahkan dengan 1,206 di Dewan Merdeka manakala selebihnya di Dewan Tun Razak 4.

Para perwakilan yang berada di Dewan Tun Razak 4 mengikuti persidangan melalui paparan skrin besar dari Dewan Merdeka.

Lebih dari itu, pematuhan SOP seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal, penggunaan sanitasi dan MySejahtera antara yang menjadi keutamaan selain penjarakan tempat duduk dengan hanya mereka yang telah lengkap vaksinasi sahaja dibenarkan untuk masuk ke dalam dewan.

Penggunaan ‘swab-test’ juga dilaksana dan perwakilan yang positif COVID-19 serta mereka yang bergejala termasuklah pemerhati tidak dibenarkan hadir dalam persidangan terbabit.

Terdahulu Perhimpunan Agung Wanita, Perhimpunan Pergerakan Pemuda dan Perhimpunan Pergerakan Puteri UMNO dilaksana lancar yang bersidang selepas dirasmikan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit