PH, Pembangkang Bercelaru Peluang BN Adakan Pilihan Raya – Mohamad

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berpandangan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) wajar diadakan melihat kepada situasi semasa suhu politik negara termasuk ketika parti lawan berada dalam keadaan berpecah-belah.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya berkata kesempatan ini perlu diambil Barisan Nasional (BN) kerana ianya dianggap sebagai peluang keemasan parti ini.

“Bagi saya kita mesti mengadakan pilihan raya tepat pada masa dan waktu yang strategik… lihat, kaji dan perhatikan bukan sahaja diri kita tetapi menilai lawan bagaimana kekuatan dia dan kelemahannya.

“Sekarang ini saya boleh katakan parti lawan seperti Pakatan Harapan (PH) dan lain-lain berada dalam berkeceramuk sehinggakan pengerusi daripada PH bertanding di Johor tidak menggunakan lambang parti itu tapi guna lambang parti sendiri.

“Jadi jelas menunjukkan bahawa masing-masing cuba melepaskan pucuk masing-masing tetapi seperti yang saya sebut tadi pembubaran Parlimen ini adalah di atas perkenan Yang di-Pertuan Agong dan yang akan menasihat adalah Perdana Menteri.

“.. tapi sebagai parti ini kehendak kita apatah lagi saya sebagai pengarah pilihan raya merancang strategi supaya parti menang,” katanya ketika sidang media selepas Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2021 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) di sini malam tadi.

Sementara itu, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN turut sama memberi respon berkenaan hubungan UMNO dan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN).

Jelas beliau, MN masih belum berakhir bagaimanapun UMNO hanya akan bersama dengan rakan parti yang setia dengan muafakat dicapai sebelum ini.

“MN belum ada lagi penutup dia macam mengaji walaupun sudah sampai ayat akhir tapi belum kita khatam.

“Jadi elok sama-sama berfikir, bagaimanapun UMNO cuma akan bersama dengan yang setia bukan dengan orang main banyak kolam akhirnya nanti ramai akan keliru… saya sendiri takut kita keliru,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit