Pemuda UMNO Mahu Akta Pendanaan Politik Disegerakan – Asyraf

KUALA LUMPUR, 17 Mac – Pemuda UMNO berharap kerajaan dapat menyegerakan pembentangan Akta Pendanaan Politik, bagi memastikan sumber kewangan parti dilaporkan secara telus kepada rakyat.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata melalui undang-undang itu, ia dapat memastikan tiada sebarang unsur rasuah mahupun salah guna kuasa dalam parti.

Asyraf berkata agenda transformasi yang diangkat oleh Pemuda hari ini bertujuan menjernihkan budaya politik, memelihara sistem demokrasi dan mempertahankan mandat rakyat, selain menanam rasa benci terhadap rasuah serta hipokrasi yang mencairkan integriti serta meruntuhkan nilai-nilai akhlak.

“Generasi baharu termasuk pengundi 18 tahun mahukan integriti sebagai salah satu pertimbangan utama mereka, dalam memilih pemimpin selain golongan itu juga tidak minat dengan retorik politik,” katanya ketika berucap pada Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Asyraf berkata Pemuda turut mengusulkan kepada pimpinan tertinggi UMNO untuk membuat pindaan Perlembagaan, supaya pemilihan diadakan selepas setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU) bagi mengelakkan sebarang usaha untuk memporak-perandakan, melemahkan kesepaduan dan kekuatan parti.

Katanya Pemuda juga mahu Akta Anti Lompat Parti dibahas dan diluluskan segera di Parlimen, kerana menyifatkan undang-undang itu satu keperluan bagi memastikan rakyat kembali percaya kepada sistem demokrasi negara.

“Negara ini mesti ditentukan nasibnya oleh rakyat dan bukannya oleh ‘222 elit politik’ dalam Dewan Rakyat. Pemuda berpendirian tegas dan keras, fenomena pengkhianatan dan pencabulan mandat rakyat tidak boleh lagi dikompromikan,” katanya.

Pemuda menurut Asyraf turut mencadangkan fungsi pendakwa raya dikeluarkan daripada peranan Peguam Negara, bagi menjamin kebebasan dan peranannya.

“Atas prinsip keadilan dan mengelakkan konflik kepentingan yang menyentuh pendakwaan politik terpilih, seorang Peguam Negara yang dilantik atas nasihat Perdana Menteri tidak wajar menasihati kerajaan dan pada masa sama menggunakan kuasa melakukan pendakwaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Zahida Zarik Khan berkata kemenangan yang dilakar UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu Melaka dan Johor, akan menjadi tonik kekuatan buat parti.

Berucap pada ucapan dasar Perhimpunan Agung Puteri di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini hari ini, Zahida berkata kemanisan kemenangan di dua PRN itu itu adalah sama seperti yang pernah dirasai parti, selepas memenangi tujuh siri Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Menang di Johor rasanya kita menang di semua tempat. UMNO kembali kuat di Johor bermakna UMNO, insya-Allah kembali kuat di seluruh negara. Nikmat manis ini kerana perang politik baru ini menuntut kepada kesepakatan, keseragaman, ketersusunan dan yang paling penting pengorbanan yang paling besar,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan ketika ditemui berkata cadangan Pergerakan Pemuda supaya fungsi pendakwa raya dikeluarkan daripada peranan Peguam Negara, adalah sesuatu yang perlu diperhalusi.

Beliau berkata banyak negara lain telah melaksanakan pendekataan itu, kerana ia bersifat telus dan memudahkan tugasan Peguam Negara. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit