Gunakan Peluang Persidangan Sebaiknya Bincang Hala Tuju UMNO, Wanita – Norliza
KUALA LUMPUR, 17 Mac – Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim berharap platform Perhimpunan Agung UMNO bagi persidangan Wanita digunakan sebaiknya oleh perwakilan yang berucap.
Katanya, ini kerana medan ini memainkan peranan penting untuk hala tuju parti keramat ini khususnya bagi Wanita yang bertindak sebagai tulang belakang kepada perjuangan parti.
“Gunakan peluang persidangan kali ini bagi membincangkan hala tuju setiap sayap khususnya kepada Wanita apa yang perlu kita lakukan dan bagaimana harus kita mantapkan jentera untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.
“Pada kali ini jurucakap-jurucakap telah bersedia dengan beberapa point-point yang kita rasa ingin ketengahkan kepada pucuk pimpinan di atas yang harus diberi perhatian serius demi kelangsungan UMNO dan Wanita.
“Persidangan ini banyak yang perlu kita bincang dan bahaskan untuk pastikan kelangsungan UMNO itu dan kita mahu UMNO menerajui kerajaan sebab kita sudah membuktikan bahawa 60 tahun lebih pentadbiran kita adalah antara yang terbaik,” katanya.
Tidak melupakan kejayaan manis Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka, Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang itu juga merakamkan penghargaan kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengetengahkan calon-calon dari Wanita pada pilihan raya tersebut.
Bagaimanapun katanya, Wanita tetap konsisten dalam memperjuangkan agenda 30 peratus wanita diberi peluang untuk menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU ke-15).
“Kita mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan khusunya Presiden yang memberi banyak juga kerusi di Johor tetapi kita masih perlu memperjuangkan lebih sebab bagi kita minima 30 peratus.
“…ia masih belum dicapai malah kita telah membuktikan di Melaka dan Johor bahawa calon-calon Wanita yang bertanding telah dapat menang dengan cemerlang jadi kita mengharapkan dengan rekod tersebut Wanita diberi peluang dan ruang dengan sebaiknya,” ujar beliau. – UMNO Online
Oleh: Nurul Sa’adah Latib