Tirai Perhimpunan Agung UMNO 2021 Dibuka Dengan Pendaftaran Perwakilan Wanita, Pemuda Puteri

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Tirai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 dibuka hari ini dengan pendaftaran perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

Bermula pukul 9.00 pagi pekarangan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini mula didatangi oleh perwakilan sayap-sayap UMNO membabitkan 191 bahagian UMNO dari seluruh negara.

Malam ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan akan menyempurnakan majlis perasmian serentak Perhimpunan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO bertempat di Dewan Merdeka.

Menyusul keesokannya, ketiga-tiga sayap UMNO akan melaksanakan persidangannya secara berasingan dengan Wanita di Dewan Merdeka, Pemuda di Dewan Tun Razak 4, Pemuda di Dewan Merdeka sementara Puteri di Dewan Tun Dr Ismail dan Dewan Tun Hussein Onn.

Perhimpunan ini kemudian diteruskan dengan ucapan dasar dan perasmian oleh Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat, dan diteruskan hingga Sabtu sebelum menutup tirai dengan penggulungan pemimpin parti. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit