Skuad Sayang Lonjak Peranan Wanita Mencakupi Aspek Modal Insan – Noraini


KUALA LUMPUR, 16 Mac – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berpandangan Skuad Sayang memainkan peranannya yang tersendiri malah mampu melonjakkan status penubuhannya lebih daripada sekadar sebuah entiti kebajikan dan kesukarelawanan.

Katanya, meskipun berdepan pelbagai cabaran namun ianya tidak mematahkan semangat skuad ini untuk berbakti kepada masyarakat.

“Kita telah melebarkan fungsi Skuad Sayang dua tahun lalu, dengan menubuhkan dua lagi unit iaitu Unit Kesihatan dan Unit Keselamatan agar mencakupi aspek modal insan, selain jenama kekeluargaan yang sedia ada yang telah mendapat tempat di hati rakyat sejak sekian lama.

“Aspek kesihatan dan keselamatan ini telah menjadi aspek pendekatan politik yang baru didalam Skuad Sayang saya ingin mengambil contoh terdekat, baru-baru ini kita semua dikejutkan dengan bencana banjir yang telah melanda di seluruh negara.

“Maka daripada itu, saya telah mengarahkan agar semua jentera Skuad Sayang 3K ini turun padang, membantu mereka yang terkesan akibat bencana banjir.,” katanya ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Skuad Sayang 3k Kebangsaan yang diadakan di Dewan Tun Razak 4, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) yang turut dihadiri Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim serta kepimpinan Ketua-ketua dan Naib-Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian.

Beliau yang juga Ketua Pesuruhjaya Skuad Sayang Kebangsaan berkata perubahan iklim politik kini juga semakin sukar diramal dan tidak menentu aturannya oleh itu skuad sukarelawan ini tidak boleh berpuas hati dengan kedudukan sedia ada.

Malah katanya selain menjadi juara kebajikan, Wanita juga harus menjadi juara kepada pendekatan dan idea baru untuk meningkatkan keberkesanan penyampaian kebajikan kepada rakyat.

“Skuad sayang harus melaksanakan pelbagai usaha dan program dalam memastikan kebajikan rakyat dijaga, sekali gus memenangi hati rakyat.

“Saya pasti di hadapan kita masih ada gelombang yang lebih besar. Kita perlu bersedia untuk melakukan kerja yang lebih mantap dan berkesan di jiwa rakyat.

“Mahu tidak mahu, kita harus berusaha tanpa jemu. Biar berdepan apa pun cabaran, pastikan UMNO kembali menang. Biar dilintang apa pun dugaan, Wanita UMNO mesti terus berdamping dengan rakyat,” ujar beliau. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.