Semarakkan Perhimpunan Agung UMNO 2021, Kesinambungan Perjuangan Agama, Bangsa, Negara

PERHIMPUNAN Agung UMNO 2021 akhirnya menjadi realiti pada tahun 2022. Sungguh, perjalanan yang bukan mudah apatah lagi untuk menjayakan perkumpulan terbesar orang-orang Melayu atas nama UMNO yang menjadi platform perjuangan demi agama, bangsa dan negara.

Menyusur kembali sepanjang tahun lalu, persidangan UMNO telah melalui ranjau malah beberapa kali tertangguh lantaran keperluan utama adalah tuntutan rakyat.

Tarikh persidangan UMNO ini dijadualkan semula ekoran bencana banjir yang melanda negara pada penghujung tahun lalu. Sepatutnya ia dilaksana pada 12-15 Januari 2022 tetapi ditangguh bagi membolehkan pimpinan UMNO dan akar umbi membantu mangsa-mangsa banjir.

Seterusnya, sekali lagi kepentingan rakyat menjadi keutamaan dalam penyusunan tarikh perhimpunan UMNO apabila memberi laluan bagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega untuk suntikan dos penggalak yang diadakan sehingga 15 Mac.

Lantas tarikh 16 Mac iaitu sehari selepas berakhirnya keutamaan rakyat dipilih dengan kepentingan parti untuk memperkukuh perjuangan diaplikasi.

Apa yang pasti, persidangan ahli-ahli UMNO ini berteraskan satu kebanggaan kerana kedudukannya hari ini bukanlah sebagaimana zahirnya selepas hilang kuasa pada Mei 2018.

Biarpun perjuangan UMNO bukanlah berlandaskan kuasa namun sedia maklum bahawa kuasa adalah penentu kepada maruah bangsa dan kedaulatan negara.

Cukuplah 22 bulan kerajaan ‘ditukang’ oleh petualang yang lebih gemar ‘beraja di mata bersultan di hati’, tingkah acapkali mencabar nurani apatah lagi agama, bangsa dan negara menjadi permainan semata-mata.

Ya, UMNO bangkit kerana parti ini berpaksikan rakyat yang merata di akar umbi. Walaupun sentiasa diasak dengan pelbagai isu yang kebanyakannya lahir dari persepsi, manipulasi dan provokasi oleh pihak tertentu, tapi UMNO tak alah.

Bukan hanya ahli-ahli UMNO tetapi pemikiran rakyat juga diracuni dengan agenda-agenda palsu dan isu-isu remeh yang tidak dibuktikan kebenarannya, hujah dibuat tanpa fakta, tuduhan bertali arus dengan kata-kata penuh nista, pemimpin parti diserang peribadi malah UMNO dipalit dengan sengketa.

UMNO istiqamah dalam perjuangan yang panjang, menyusur 75 tahun perjalanan dengan kematangan merentasi onak cabaran, maka tanggungjawab yang besar dalam tekad berkhidmat kepada rakyat sentiasa diaplikasi.

Masa telah membuktikan bahawa UMNO bukan hanya yang berjawatan sahaja sedia berkhidmat sebaliknya tugas tergalas di setiap bahu ahli parti dengan menzahirkan gerak kerja mantap, memberi tanpa diminta, bekerja tanpa disuruh, bersedia tanpa mengharap balasan dan melaksanakan tugas dengan ikhlas atas nama perjuangan Islam, bangsa dan negara.

Lebih manis, malah amat bermakna apabila Perhimpunan Agung UMNO 2021 ini dilaksana dengan lakaran dua kejayaan besar menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) iaitu Melaka penghujung tahun lalu dan Johor 12 Mac.

Namun begitu, makna perjuangan sebenar tidak berpenghujung kerana siap siaga anggota parti ketika ini adalah bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Memantapkan UMNO adalah untuk pilihan raya dengan gerak kerja bukan hanya untuk mengumpulkan ahli-ahli parti tetapi yang paling penting adalah memastikan setiap mereka akan keluar mengundi selain meraih sokongan rakyat pelbagai kaum termasuklah golongan muda.

Semangat anggota UMNO terus disemai, semarakkan kobar perjuangan selaku jentera parti yang bergerak bersama-sama membina benteng kekuatan menerusi keutuhan perpaduan dengan berpegang kepada cogan kata parti, ‘Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat’.

Untuk itu, persidangan parti terbesar bangsa Melayu terlakar untuk kesekian kali dalam memahat kukuh aspirasi perjuangan dengan kini menerusi Perhimpunan Agung UMNO 2021.

Justeru, teruskanlah sokongan yang tidak berbelah bahagi untuk memastikan perjuangan UMNO bersemarak dari dahulu, kini dan kepada generasi pewaris seterusnya.

Selamat Bersidang Para Perwakilan UMNO!

EDITOR UMNO ONLINE
Ropikah Ahmad

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit